Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Perbadanan Putrajaya Perjelas Garis Panduan Fotografi Di Taman Awam

PUTRAJAYA
Kredit: TripAdvisor

Perbadanan Putrajaya Perjelas Garis Panduan Fotografi Di Taman Awam

Perbadanan Putrajaya hari ini tampil memperjelaskan garis panduan berkaitan aktiviti fotografi di taman-taman awam sekitar Putrajaya bagi memastikan keselesaan pengunjung serta mengekalkan keindahan kawasan rekreasi.

Dalam satu makluman yang dimuat naik di Facebook rasmi, Perbadanan Putrajaya berkata, aktiviti fotografi untuk kegunaan peribadi adalah dibenarkan dan tidak dikenakan sebarang bayaran selagi ia tidak melibatkan tujuan komersial, promosi, pengiklanan atau jualan.

Menurut Perbadanan Putrajaya, pengunjung bagaimanapun perlu mematuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan sepanjang sesi fotografi dijalankan.

Katanya, hanya satu unit kamera dibenarkan untuk digunakan bagi setiap sesi fotografi persendirian.

Selain itu, penggunaan peralatan tambahan seperti lensa tambahan, gimbal, lampu studio, reflektor, mikrofon serta peralatan seumpamanya adalah tidak dibenarkan.

“Pengunjung juga tidak dibenarkan membawa sebarang prop, dekorasi atau membina latar belakang khas di kawasan taman awam,” katanya dalam makluman itu.

Tambahnya, pertukaran pakaian atau persalinan sepanjang sesi fotografi turut tidak dibenarkan.

Perbadanan Putrajaya berkata, mana-mana aktiviti fotografi yang gagal mematuhi syarat-syarat tersebut akan dikategorikan sebagai fotografi komersial.

Menurutnya, aktiviti fotografi komersial akan dikenakan caj sebanyak RM100 sejam.

Katanya, kerjasama semua pengunjung amat dihargai bagi memastikan taman-taman awam di Putrajaya kekal teratur, selamat dan selesa untuk dinikmati bersama.

Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi pihak pengurusan taman berkaitan seperti yang tertera dalam poster rasmi yang dikongsikan.