Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kegiatan jurugambar jalanan tanpa lesen atau ‘ulat foto’ di sekitar kawasan KLCC sekali lagi menjadi perhatian apabila seorang lelaki tampil mendedahkan situasi itu masih berleluasa meskipun amaran larangan sudah dipasang.
Menerusi satu hantaran di Threads, seorang pengguna dikenali sebagai @nadi_band berkata, dia sempat membuat tinjauan ringkas di kawasan KLCC dan mendapati masih ramai jurufoto haram beroperasi seperti biasa.
Menurutnya, lebih mengejutkan apabila ada antara mereka didakwa bertindak mengugut selepas ditegur.
“Terjah KLCC sebentar tadi, kedapatan ramai jurufoto haram di kawasan luar KLCC. Ada yang siap ugut Abam, tapi tak ada hal, benda kecil je tu,” katanya dalam hantaran tersebut.
Nadi berkata, situasi itu bukan sahaja menimbulkan rasa kurang selesa, malah boleh menjejaskan imej ibu negara di mata pelancong.
Katanya, kawasan sekitar KLCC yang menjadi ikon pelancongan negara sepatutnya berada dalam keadaan lebih teratur, bersih dan selamat.
“KLCC merupakan tumpuan utama pelancong, kenapa jadi macam ni? Sampai bila kita nak viralkan benda macam ni?” ujarnya lagi.
Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan poster amaran larangan jurufoto tanpa kebenaran sudah dipasang di kawasan berkenaan, namun ia seolah-olah tidak diendahkan oleh individu terbabit.
Dalam rakaman itu, Nadi dilihat menegur beberapa jurugambar jalanan dan meminta mereka menghentikan aktiviti tersebut serta mencari rezeki di tempat lain.
Menurutnya, tindakan segelintir pihak yang terus berdegil walaupun sudah beberapa kali dikenakan tindakan hanya mencemarkan nama baik bandar raya.
“Merosakkan bandaraya ni. Orang dah cakap jangan ada jurufoto sini, tapi masih degil. Berapa kali nak viral? Polis dah tangkap pun masih buat lagi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan aspek penguatkuasaan di kawasan tersebut yang menurutnya masih longgar.
Katanya, selain isu ulat foto, kawasan sekitar KLCC juga didakwa dipenuhi gelandangan dan sampah yang boleh memberi gambaran negatif kepada pelancong.
“Terdapat gelandangan berkeliaran di sana dan kawasan KLCC kotor dengan sampah. Apa penguat kuasa kita buat? Sepatutnya ada rondaan berkala tanpa mengira hari dan masa,” katanya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa kecewa terhadap situasi berkenaan dan berharap tindakan lebih tegas diambil.
Seorang pengguna Threads, @kri6202 berkata, penguatkuasaan pihak berkuasa dilihat masih lemah walaupun isu sama sudah lama dibangkitkan.
“Saya pun baru kena hari Isnin. Ulat haram datang dekat saya tanya nak ambil gambar. Saya terus jerit panggil polis, terus dia lari,” kata pengguna @kertasterbang27.
Seorang lagi pengguna, @beingliyana.2712 berkata situasi sama lebih rancak berlaku pada waktu malam sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.
“Waktu malam lagi rancak. Suami saya hampir nak bertindak sebab mereka asyik mengekor walaupun kami dah tegas tak mahu ambil gambar,” katanya.