Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Percutian Bertukar Tragedi, Lelaki Maut Selepas Terjatuh Dari Pelampung Terbang
Seorang pelancong Jepun yang sedang bercuti bersama keluarganya di Bali dilaporkan maut ketika melakukan aktiviti pelampung terbang di Pantai Tanjung Benoa, lapor Coconuts.co.
Laporan mendedahkan bahawa pelancong yang dikenali sebagai Kikuchi Satoshi, 60, telah terjatuh ketika sedang melakukan aktiviti air pada Jumaat lalu.
Jurucakap Polis Bali, Jansen Avitus Panjaitan memberitahu pemberita bahawa kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 10 pagi di hadapan Hotel Grand Mirage.
Lelaki Jepun itu dikatakan sedang mencuba aktiviti pelampung terbang bersama isteri dan tiga orang anaknya.
Sesi pertama aktiviti itu berjalan lancar dengan pemandu bot dan seorang tenaga pengajar memastikan keselamatan para peserta, termasuk mangsa dan anak-anaknya.
Walau bagaimanapun, sewaktu mangsa dan anak lelakinya yang berusia 15 tahun sedang berada di atas kapal, insiden yang tidak dijangka itu berlaku.
Lebih kurang 40 meter dari pantai, pelampung terbang itu secara tiba-tiba bergoyang dan senget ke kanan.
Instructor dilaporkan terjatuh, diikuti oleh mangsa dan anaknya selepas mereka kehilangan pegangan kepada pelampung tersebut.
“Tiba-tiba mereka tersasar dan jatuh ke dalam laut dengan menghadap ke bawah dan tidak sedarkan diri,” kata Jansen pada hujung minggu lalu.
Kedua-dua mangsa jatuh dalam jarak kira-kira tiga meter ke dalam air dan mereka segera diberi bantuan oleh petugas yang hadir.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke RS Surya Husada Nusa Dua untuk rawatan lanjut, namun malangnya, mangsa tidak dapat diselamatkan.
Wayan Simpen, seorang pemandu permainan air memberitahu saluran berita tempatan bahawa langit mendung dan angin bertiup secara tidak dijangka ketika kejadian.
Katanya, permainan pelampung terbang itu memerlukan pertimbangan yang teliti terhadap keadaan cuaca, corak angin dan ketinggian ombak.
Kesemua faktor itu perlu diambil kira bagi memastikan keselamatan mereka yang mahu mencuba aktiviti air tersebut.
Direktorat Polis Udara dan Air Bali sedang menyiasat kejadian itu. Pihak berkuasa telah menyoal beberapa saksi, termasuk pengendali kemudahan sukan air tersebut.
BACA: Lima Pemuda Ditemui Maut, Kepala Dipenggal Kartel Dadah Selepas Kena “Scam” Kerja Kosong
Pada peringkat awal siasatan, polis masih belum membuat kesimpulan berhubung potensi kecuaian di pihak pengendali aktiviti air terbabit.
Proses untuk memulangkan mayat mangsa ke Jepun sedang dibuat dengan penyelarasan daripada Konsulat Jepun.
Insiden malang ini telah menjadi peringatan tentang kepentingan protokol dan keselamatan serta keadaan cuaca sewaktu menjalankan aktiviti air tersebut.
Sumber: Coconuts.co