Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman yang difailkan oleh Kelab Bola Sepak Selangor telah ditolak oleh Mahkamah Timbang Tara melalui Emergency Sole Arbitrator pada Isnin.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata susulan keputusan itu, hukuman ke atas Selangor FC untuk bermain di stadium tanpa kehadiran penyokong bagi perlawanan Piala FA musim 2026/2027 menentang Sabah pada 9 September 2026 di gelanggang sendiri kekal berkuat kuasa.
“Rayuan tersebut dibuat terhadap hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 15 November 2025 dan kemudiannya dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FAM pada 26 November 2025, susulan insiden yang melibatkan kelakuan penyokong serta penganjuran perlawanan.
“Permohonan secara kecemasan itu dibuat di bawah Rule 23 AIAC Rules 2026 dan telah didengar pada jam 5.00 petang semalam, waktu Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Pun begitu, proses pendengaran penuh berhubung rayuan terhadap kes tersebut masih terbuka dan akan diteruskan mengikut proses timbang tara yang ditetapkan.

