Pernah Hilang Arah, Gaji RM20 Sehari, Kisah ‘Budak Bendang’ Jadi Inspirasi Ramai
“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.
Mungkin, itulah ungkapan paling tepat bila bercakap tentang kisah hidup Mohd Fairus Abdul Farid, Pengurus Pusat Teknologi Reaktor (PTR), Bahagian Sokongan Teknikal, Agensi Nuklear Malaysia.

(Gambar: Mohd Fairus sebagai Pengurus PTR, Bahagian Sokongan Teknikal, Agensi Nuklear Malaysia)
Hidup sederhana dalam keluarga lapan beranak di kampung, beliau tidak pernah menduga mampu mengubah nasib diri dan keluarga.
Berbekalkan tekad yang kuat serta doa dan pengorbanan arwah abah dan ibu tercinta. ‘Orang bendang’ ini kini memegang amanah besar menerusi lakaran kerjaya bersama Agensi Nuklear Malaysia.

(Gambar: Sebahagian staf PTR)
Perjalanan hidup beliau menjadi inspirasi ramai anak muda, menjadi bukti bahawa asal usul bukanlah satu penghalang. Sebaliknya, kemahuan dan usaha adalah kunci sebenar mencapai kejayaan.
Masa kecil yang tidak indah, tapi kekal manis dalam ingatan
“Semasa kecil, saya pernah rasa cemburu bila tengok orang lain dapat apa yang mereka nak. Keluarga saya susah, tak mampu,” cerita Mohd Fairus.
Katanya, ayahnya dulu bekerja sebagai warden penjara. Ibunya pula seorang suri rumah yang berniaga kecil-kecilan menjual kuih di kawasan kuarters penjara dan di tepi jalan.
“Gaji abah sebagai warden berpangkat koperal tak banyak, ditambah pula dengan enam orang anak yang masih bersekolah. Ibu pula tak pernah berehat, setiap pagi bangun awal siapkan kuih untuk dijual,” kongsi anak keempat daripada enam beradik ini.
Mohd Fairus juga mengakui, beliau pernah rasa cemburu dengan nasib rakan seusianya dulu. Bahkan, kenangan waktu kecil itu masih segar dalam ingatan hingga sekarang.
“Saya masih ingat masa tu basikal BMX jadi kegilaan budak-budak. Harga basikal baru dalam RM100 hingga RM200.
“Tapi keluarga saya tak mampu. Jadi abah belikan basikal terpakai berharga RM30. Itulah hadiah paling saya hargai,” katanya.
Tambahnya lagi, masa kecil dulu beliau mungkin tak faham pengorbanan ayahnya. Tapi bila dikenang semula sekarang, agak sukar menahan rasa sebak.
“Semua orang pernah lalui zaman nakal, termasuk saya.” Mohd Fairus
Menurut bapa kepada tiga anak itu, setiap orang pasti ada sisi nakal atau kenangan ‘zaman gelap’ ketika kecil atau remaja, begitu juga dirinya.
“Saya bersekolah tak jauh dari rumah. Waktu tu perangai saya agak teruk, biasalah budak kampung.
“Memandangkan kami tinggal di kawasan kampung yang dikelilingi sawah padi dan sungai, saya dan adik-beradik lelaki selalu bermain di luar rumah sampai terabai pelajaran.
“Saya juga nakal dan suka ponteng. Kadang-kadang saya sengaja tidak ke sekolah dengan alasan ‘pening kepala’,” cerita anak jati Jelapang Padi itu.

(Gambar: Zaman sekolah di Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, Kedah (Mohd Fairus paling kiri)
Tapi, di sebalik kenakalannya itu, Mohd Fairus tetap berusaha mencari duit poket sendiri sejak di bangku sekolah.
“Ketika saya di sekolah menengah iaitu antara Tingkatan 1 hingga 3, ketika cuti sekolah, saya akan mengikut jiran saya (kontraktor kecil pemasangan paip air di daerah Pokok Sena dan Kuala Nerang.
“Dengan pendapatan sekitar RM20 sehari, saya akan melakukan kerja buruh kasar dengan mengorek laluan paip baharu dari paip utama hingga ke rumah pengguna.
“Selalu jarak yang perlu dicangkul adalah sekitar 30 ke 200 kaki dan dalam sehari kami dapat menyiapkan dua ke tiga rumah sahaja.
“Walaupun dengan gaji RM20 kadang-kadang lebih sedikit, saya berasa bersyukur sangat-sangat dengan hasil titik peluh saya. Dengan gaji tersebut boleh la menampung keperluan sekolah dan kehidupan seharian saya,” katanya.
“Selain itu juga, pada hujung minggu hari persekolahan, saya selalunya akan mengambil upah menjual kuih dan nasi lemak sekeliling taman perumahan saya dengan menggunakan basikal roda tiga,” tambahnya lagi.
Rasa ‘malu’ ubah segalanya
Menurut Mohd Fairus, segalanya berubah apabila satu perasaan ‘malu’ pada diri sendiri mula timbul.
“Saya pelajar yang agak teruk, dengan keputusan pelajaran yang juga agak teruk.
“Bergaul dengan orang kampung, melihat rakan-rakan yang bekerja di sawah atau kilang selepas tamat sekolah. Saya terfikir, kalau terus begini, hidup saya pun akan sama,” katanya.
“Keluarga saya sudahlah susah, sampai bila nak hidup macam ni?” – Mohd Fairus
Kerana itulah, beliau ‘memaksa’ diri untuk masuk ke sekolah asrama untuk beri pelajaran pada diri sendiri.
“Mujur arwah abah bantu mohon kemasukan ke Sekolah Vokasional Alor Setar dengan pertolongan kenalannya.
“Iyalah, dengan keputusan yang agak kurang baik, bukan mudah nak dapat tempat di sekolah asrama. Jadi, saya minta abah tolong mohon melalui rakannya, sebab waktu itu saya memang tekad nak ubah hidup saya dan keluarga,” katanya.

(Gambar: Mohd Fairus di Sekolah Vokasional Alor Setar (belakang, 3 dari kiri)
Pada mulanya, beliau mengakui hampir putus asa kerana kerana tidak biasa berjauhan dengan keluarga.
“Selepas dua bulan, saya mula dapat sesuaikan diri dan semakin minat dengan bidang teknikal.
“Hidup di asrama memang berbeza. Semuanya teratur, ada waktu belajar malam (prep) dan peraturan yang ketat. Tanpa sedar, semua itu mengubah diri saya.
“Akhirnya, buat pertama kali, saya berjaya dapat nombor satu dalam kelas. Saya menangis gembira dan terus telefon abah untuk kongsi berita itu,” katanya.
Sejak hari itu, semangatnya untuk belajar makin tinggi dan keputusan pelajarannya pun semakin baik.
“Alhamdulillah, selepas SPM saya dapat pangkat satu dengan agregat 14,” katanya bangga.
“Saya masih ingat pengorbanan arwah abah…” – Mohd Fairus
Kongsi Mohd Fairus, kerana tidak mahu menambah beban keluarga hanya demi mimpi ke menara gading, beliau pada mulanya merancang sambung pelajaran di sebuah politeknik terdekat.
“Tapi tak disangka, saya akhirnya diterima masuk ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal pada 1996,” katanya.
“Saya masih ingat pengorbanan arwah abah. Dia sanggup jual motosikal kesayangannya, hadiah daripada datuk saya, dengan harga RM400, semata-mata untuk bantu saya masuk universiti. Duit itulah yang saya bawa sebagai bekal ke Kuala Lumpur.
“Selama tiga tahun di UTM, saya hidup berjimat. Setiap kali teringat gaji arwah abah yang tinggal RM200 saja selepas kirim RM200 kepada saya, saya belajar bersederhana,” katanya sebak.
Menurutnya, pengorbanan itulah yang menjadi penguat semangat hari demi hari.
Selepas menamatkan diploma, beliau kemudiannya berjaya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di UTM Skudai, Johor.

(Gambar: Zaman belajar di UTM Skudai, Johor (Mohd Fairus paling kanan)
“Perjalanan masa tu memang tak mudah. Semester pertama lagi saya dah gagal satu subjek. Saya hampir putus asa, tapi berkat doa ibu dan abah, saya bangkit semula.
“Saya belajar lebih rajin, join kumpulan belajar dengan kawan-kawan yang pandai. Akhirnya, saya berjaya habiskan pengajian lebih awal,” jelasnya.
“Tapi, perkara paling menyedihkan berlaku pada tahun akhir pengajian bila arwah ibu meninggal dunia semasa saya jalani latihan industri di Senai, Johor.
“Saya tak sempat tengok wajahnya buat kali terakhir sebab jarak jauh. Tapi saya tahu, ibu pasti bangga sebab saya hampir tamat belajar ketika itu,” kongsinya sebak.
Cerita awal karier
Tamat pengajian pada 2002, Mohd Fairus sempat bekerja sementara sebagai jurutera pembinaan di Kedah sambil mengisi borang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“Tak sangka, panggilan temu duga pertama yang saya terima ialah untuk jawatan Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia yang kini dikenali sebagai Agensi Nuklear Malaysia.
“Saya masih ingat, masa terima surat itu saya sendiri tak tahu pun bahawa Malaysia ada institusi berkaitan nuklear. Tapi saya tetap pergi ke temu duga di pejabat SPA Kuala Lumpur.
“Beberapa minggu kemudian, saya terima berita gembira, saya berjaya diterima bekerja di Agensi Nuklear Malaysia.
“Itulah titik permulaan perjalanan kerjaya saya dalam bidang penyelidikan nuklear. Alhamdulillah, hingga hari ini saya masih setia berkhidmat di sini,” katanya.
Bukan itu sahaja. Tambah beliau, berkat berkhidmat di Agensi Nuklear Malaysia, beliau berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

(Gambar: Mohd Fairus di University of Liverpool, United Kingdom semasa menyambung pengajian di peringkat sarjana)
“Saya menyambung pengajian di University of Liverpool, United Kingdom pada 2012 untuk peringkat sarjana (Master) dalam bidang Sains dan Teknologi Nuklear.
“Di Agensi Nuklear Malaysia, staf memang digalakkan sambung belajar dan banyak peluang ditawarkan untuk ke luar negara.
“Jadi, bagi anak muda yang minat bidang sains dan teknologi, bidang ini sebenarnya sangat luas dan menjanjikan masa depan yang cerah,” jelasnya.
Kerjaya 23 tahun bersama Agensi Nuklear Malaysia
“Dari tahun 2002 hingga 2008, saya bertugas di bahagian pengurusan sisa radioaktif dan pepejal.
“Apabila kerajaan mula menunjukkan minat untuk meneroka bidang tenaga nuklear sekitar tahun 2008, saya dipindahkan ke bahagian reaktor penyelidikan.
“Sejak itu, saya banyak terlibat dalam pelbagai bahagian berkaitan reaktor, termasuk operasi dan keselamatan.
“Pada awal tahun ini pula, saya dilantik sebagai Pengurus PTR,” katanya.
Untuk makluman, Mohd Fairus ialah salah seorang daripada hanya 13 individu di Malaysia yang memiliki lesen untuk mengendalikan reaktor nuklear penyelidikan, dikenali sebagai Pengendali Reaktor Berlesen.
“Pada masa sama, saya juga merupakan seorang daripada lima Pengendali Reaktor Kanan yang dilantik di negara ini,” tambahnya.

(Gambar: Mohd Fairus dilantik sebagai Pengendali Reaktor Kanan di Malaysia)
Galas tanggungjawab besar di Pusat Teknologi Reaktor
Mohd Fairus menggalas tanggungjawab yang besar sebagai Pengurus PTR, Bahagian Sokongan Teknikal, Agensi Nuklear Malaysia.
“Tugas utama PTR adalah mengoperasikan reaktor penyelidikan nuklear. Jadi saya kena pastikan tiada kemalangan yang boleh menyebabkan kebocoran bahan radioaktif keluar dari kawasan reaktor,” katanya.
Beliau menerangkan bahawa Nuklear Malaysia menggunakan bahan uranium sebagai bahan api reaktor. Justeru, bahan ini mesti disimpan dengan sangat rapi.
“Uranium yang digunakan dalam reaktor bila melalui proses pembelahan boleh menghasilkan plutonium. Untuk makluman, plutonium ni juga bahan yang digunakan dalam pembuatan bom atom. Sebab itu aspek keselamatan fizikal sangat ketat. Kita tak boleh biarkan bahan ini hilang atau dicuri.
“Malaysia terikat dengan komitmen kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Negara ini telah menandatangani perjanjian sejak awal 1970-an untuk menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan aman sahaja.
“Kita berjanji kepada dunia bahawa teknologi nuklear di Malaysia hanya untuk penyelidikan dan pembangunan, bukan untuk senjata. Jadi setiap tahun, pegawai IAEA akan datang buat pemeriksaan di fasiliti kami. Mereka akan semak semua rekod bahan nuklear, pastikan tiada yang disalahguna,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi bahawa bulan depan, PTR akan menerima kunjungan pemeriksa IAEA sekali lagi sebagai sebahagian daripada rutin tahunan.
“Setakat ni, alhamdulillah, Malaysia sentiasa mematuhi piawaian IAEA dan tiada sebarang pelanggaran,” katanya.

(Gambar: Mohd Fairus ketika pembentangan di IAEA di Vienna, Austria)
“Kerja nuklear ni buat bom ke?” – Soalan paling kerap ditanya
Apabila ditanya tentang tanggapan umum masyarakat terhadap nuklear yang sering dikaitkan dengan bahaya, Mohd Fairus tenang menjelaskan bahawa keselamatan sentiasa menjadi keutamaan utama di Nuklear Malaysia.
“Ya, memang benar sinaran radioaktif seperti alpha, beta dan gamma boleh membahayakan jika tidak dikawal. Tetapi di Agensi Nuklear Malaysia, kawalan keselamatan sangat ketat.
“Di PTR, tahap keselamatan lebih tinggi kerana kita berurusan dengan sinaran neutron yang dihasilkan oleh reaktor nuklear itu sendiri.
“Memang sinaran ni kita tak nampak, tak macam api atau angin. Tapi kita boleh ramalkan dan kawal dengan prinsip asas seperti perlindungan (shielding), masa pendedahan, dan jarak dari sumber sinaran. Malah, setiap pekerja ada alat pemantauan peribadi untuk mengukur pendedahan radiasi,” katanya.
Mohd Fairus turut menegaskan bahawa reaktor di Malaysia hanya beroperasi selepas mendapat lesen sah daripada Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), yang bertanggungjawab memastikan semua aspek keselamatan dipatuhi.
“Kalau tak cukup piawaian keselamatan, kita tak akan dapat permit operasi. Setiap tiga tahun sekali juga kami perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tahap keselamatan pekerja sinaran sentiasa terjamin.
“Alhamdulillah, saya dah 23 tahun di sini, tak pernah ada isu besar. Tapi lucunya, masa mula-mula kerja dulu, orang kampung selalu tanya, kerja nuklear ni buat bom ke? Ramai yang masih tak tahu sebenarnya tenaga nuklear ni banyak manfaat untuk tujuan aman seperti penyelidikan dan pembangunan teknologi,” katanya sambil ketawa kecil.
“Pengorbanan arwah abah, doa tak putus ibu, itu jadi azimat saya.” – Mohd Fairus
Kongsi Mohd Fairus, beliau sempat berkhidmat selama tiga tahun sebelum kehilangan ayahnya. Katanya, nasihat arwah sentiasa menjadi pegangan hidup.
“Abah selalu pesan, belajar elok-elok supaya hidup lebih baik daripada mak abah. Jangan main judi, jangan minum arak, jangan ambil dadah. Itu nasihat dia yang sampai sekarang saya pegang,” katanya.
Selain itu, sokongan dan doa daripada isteri dan anak-anak adalah penguat semangat beliau.

(Gambar: Isteri dan anak-anak)
Beliau membesar dalam keluarga susah dan mengaku pernah rasa tidak nampak masa depan.
“Dulu saya fikir hidup saya akan macam ni saja. Tapi bila keluar dari kampung, baru saya nampak peluang sebenarnya luas.
“Kalau niat kita betul, Allah akan bantu dalam macam-macam cara. Asalkan usaha kita bukan untuk jatuhkan orang, tapi untuk membina.
“Jadikan apa yang kita buat sebagai amanah yang kita boleh buat bekalan di akhirat. Itu yang saya nak sampaikan pada anak-anak saya sekarang,” tambahnya.