Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pernah Tertanya-Tanya Apa Fungsi Poket Kecil Pada Seluar Jeans?

POKET
Kredit: Readers Digest

Pernahkah anda tertanya tanya mengapa seluar jeans mempunyai satu poket kecil di bahagian hadapan, sedangkan saiznya terlalu kecil untuk memuatkan telefon bimbit?

Bagi sesetengah orang, poket itu mungkin sekadar tempat menyimpan syiling, kunci rumah atau barangan kecil. Ada juga yang membiarkannya kosong kerana menganggap poket berkenaan tidak mempunyai fungsi penting dalam kehidupan seharian.

Namun, di sebalik saiznya yang kecil, poket tersebut sebenarnya mempunyai sejarah tersendiri yang bermula lebih 100 tahun lalu.

Menurut pakar fesyen, poket kecil yang sering dikenali sebagai poket kelima itu pada asalnya direka khusus untuk menyimpan jam poket.

Pada zaman ketika jam tangan belum digunakan secara meluas, lelaki lazimnya membawa jam poket yang disangkut pada rantai sebelum disimpan di dalam vest atau poket khas pada pakaian mereka.

Pereka seluar jeans kemudian memperkenalkan poket kecil itu bagi menyediakan ruang penyimpanan yang sesuai untuk jam berkenaan, sekali gus membantu melindunginya daripada kerosakan ketika melakukan kerja fizikal.

Menurut pakar tekstil Gary Firth, seluar jeans pada awal kemunculannya bukanlah pakaian fesyen semata mata, sebaliknya direka untuk golongan pekerja, petani, koboi dan individu yang melakukan kerja berat.

Justeru, setiap ciri pada pakaian tersebut mempunyai tujuan tersendiri, termasuk penggunaan poket kecil yang kini menjadi sebahagian daripada reka bentuk klasik seluar jeans.

Bermula Daripada Keperluan, Kekal Menjadi Identiti

Sejarah seluar jeans juga mempunyai kaitan dengan perkembangan industri tekstil di Eropah.

Menurut ahli sejarah fesyen Robert Ossant, bahan yang dikenali sebagai denim mempunyai sejarah sejak abad ke 16 di selatan Perancis, khususnya di bandar Nîmes.

Nama denim dipercayai berasal daripada istilah Perancis de Nîmes, yang bermaksud dari Nîmes, manakala istilah blue jeans mempunyai kaitan dengan Bleu de Gênes.

Pada 1873, Levi Strauss bersama tukang jahit Jacob Davis memperoleh paten bagi seluar yang menggunakan rivet untuk mengukuhkan bahagian jahitan, sekali gus menjadikannya lebih tahan lasak.

Ketika itu, seluar berkenaan dikenali sebagai waist overalls dan digunakan terutamanya oleh golongan pekerja.

Poket jam kemudiannya ditambah pada reka bentuk seluar jeans sekitar 1879.

Menariknya, poket kecil itu sebenarnya bukan poket kelima pada asalnya. Menurut Ossant, reka bentuk awal seluar jeans Levi's mempunyai dua poket hadapan dan satu poket belakang.

Penambahan poket jam menjadikan jumlahnya empat, manakala poket belakang kedua hanya diperkenalkan pada 1901.

Daripada Jam Poket Kepada Syiling Dan Kunci

Hari ini, fungsi poket kecil itu sudah berubah mengikut keperluan pengguna.

Ada yang menggunakannya untuk menyimpan syiling, pemetik api, kunci rumah, kad memori atau barangan kecil lain yang mudah dibawa ke mana mana.

Menurut Firth, meskipun fungsi asalnya berkaitan dengan jam poket, poket tersebut masih boleh digunakan untuk menyimpan pelbagai barangan bersaiz kecil.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan pengguna moden, poket berkenaan mungkin tidak lagi dianggap sebagai keperluan utama.

Walaupun jam poket semakin jarang digunakan, ciri tersebut terus dikekalkan oleh pengeluar seluar jeans, termasuk Levi Strauss & Co. yang masih merujuknya sebagai watch pocket atau poket jam.

Reka bentuk itu juga menjadi sebahagian daripada identiti seluar jeans klasik yang diwarisi sejak generasi terdahulu.

Poket Kecil Yang Menyimpan Sejarah Besar

Menurut pakar penggayaan fesyen Amanda Massi, poket kecil pada seluar jeans merupakan contoh bagaimana fungsi dan reka bentuk boleh bertahan merentasi perubahan zaman.

Walaupun penggunaannya tidak lagi sama seperti dahulu, ciri itu mengingatkan pemakai tentang asal usul seluar jeans sebagai pakaian kerja sebelum berkembang menjadi pilihan fesyen harian.

Daripada menyimpan jam poket pada abad ke 19 kepada menyimpan syiling atau kunci pada hari ini, poket kecil tersebut membuktikan bahawa sesuatu reka bentuk boleh terus kekal meskipun keperluan asalnya sudah berubah.

Jadi, apabila anda memakai seluar jeans selepas ini, jangan anggap poket kecil itu sekadar hiasan.

Di sebalik saiznya yang sederhana, tersimpan sejarah panjang tentang bagaimana pakaian direka untuk memenuhi keperluan manusia sebelum menjadi sebahagian daripada gaya hidup moden.

Sumber:www.rd.com
Intipati
  • Poket kecil seluar jeans pada asalnya direka khusus untuk menyimpan jam poket.
  • Seluar jeans awal digunakan pekerja, petani dan koboi kerana reka bentuknya tahan lasak.
  • Hari ini, poket kecil digunakan untuk syiling, kunci dan barangan kecil lain.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan