Pesawat ATR 42-500 Dilapor Terputus Hubungan, Pasukan SAR Dikerah Ke Lokasi Terakhir
JAKARTA — Pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport dilaporkan terputus hubungan ketika melalui kawasan Leang-Leang, Kabupaten Maros, Sulawesi Selatan, lapor Kompas TV.
Difahamkan, pesawat dengan nombor pendaftaran PK-THT dilaporkan hilang hubungan semasa penerbangan dari Lapangan Terbang Adisutjipto, Yogyakarta menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Makassar kira-kira jam 1.17 petang waktu tempatan.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Seksyen Operasi Basarnas Makassar, Andi Sultan, sambil menambah pasukan SAR kini dalam perjalanan menuju lokasi yang dipercayai sebagai lokasi pesawat itu terputus hilang hubungan.
“Ketika ini, kami sedang menuju ke lokasi berdasarkan koordinat yang diberikan oleh AirNav di sekitar Kabupaten Maros, berhampiran kawasan Leang-Leang.
“Bagi, mempercepatkan proses pencarian serta pemeriksaan awal, seramai lima anggota pertama telah dihantar untuk membuat siasatan awal, diikuti 15 anggota seterusnya.
“Kemudian, seramai 40 anggota lagi akan digerakkan mengikut potensi yang ada,” katanya.
Menurut beliau, pengerahan anggota dilakukan secara berperingkat dengan mengambil kira keadaan muka bumi serta akses ke lokasi titik koordinat terakhir pesawat
Berdasarkan maklumat awal yang diterima, pesawat yang membawa tiga penumpang dan lapan kru itu dipercayai terputus hubungan di titik koordinat 04°57’08” S, 119°42’54” E.
Sementara itu, seorang pendaki mendakwa menjumpai beberapa serpihan pesawat dipercayai milik ATR 42-500 di kawasan puncak Gunung Bulusaraung.
Gambar: TribunnewsBeberapa bahagian serpihan pesawat yang ditemukan itu berada dalam keadaan terbakar.
Sehingga kini, belum terdapat sebarang maklumat rasmi berhubung keadaan pesawat, kru mahupun penumpang.
Operasi pencarian masih diteruskan dan diselaraskan bersama pihak berkaitan, termasuk AirNav serta agensi penerbangan lain.
Sumber: Kompas, Tribunnews