Utama

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Mangsa Terakhir Nahas Pesawat ATR 42-500 Ditemui, Ketua Operasi SAR Menangis Hiba
Selepas tujuh hari bertungkus-lumus berdepan keadaan ekstrem dan cuaca tidak menentu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akhirnya menemukan jenazah terakhir mangsa nahas pesawat ATR 42-500 di kawasan Gunung Bulusaraung, Sulawesi Selatan.
Tangisan pilu menyelubungi Pusat Operasi Desa Tompobulu ketika Ketua Operasi Basarnas Makassar, Andi Sultan memaklumkan mengenai penemuan mangsa terakhir itu, lapor IDN Times.
Beliau terlebih dahulu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pencarian dan pemindahan jenazah mangsa.
Sepanjang tempoh seminggu, pasukan terbabit giat menyusuri cerun dan jurang di kawasan berkenaan.
Menurut Andi, jenazah kesembilan ditemui terlebih dahulu pada kira-kira jam 8.55 pagi waktu tempatan. Operasi pemindahan diteruskan mengikut perancangan yang disusun sejak malam sebelumnya, namun misi utama tidak dihentikan, iaitu mencari mangsa terakhir.
Beberapa minit kemudian, berita yang dinanti-nantikan akhirnya tiba apabila mangsa ke-10, yang juga mangsa terakhir, berjaya ditemukan.
“Pada jam 9.16 pagi, Alhamdulillah mangsa ditemukan, jenazah ke-10 ini dalam proses pemindahan,” kata Andi Sultan yang tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika menyampaikan berita tersebut.
Tangisan itu bukan sekadar luahan emosi, sebaliknya menggambarkan rasa lega selepas tujuh hari pasukan SAR gabungan dan para sukarelawan berdepan cabaran jurang curam, hujan, kabus tebal dan lereng berbahaya di Gunung Bulusaraung.
Di sebalik semua itu, tanggungjawab untuk memastikan tiada seorang pun mangsa tertinggal terus menjadi keutamaan.
Andi turut menegaskan kejayaan operasi pencarian ini adalah hasil kerjasama erat semua pihak yang terlibat, yang bekerja seiring tanpa mengira perbezaan agensi atau institusi.
“Semua pihak berganding bahu, termasuk TNI, Polri, Basarnas, agensi kerajaan, pihak desa serta Jabatan Bomba. Semuanya bekerjasama,” katanya.
Sementara itu, Pasukan Disaster Victim Identification (DVI) gabungan Polis Republik Indonesia telah mengenal pasti dua jenazah mangsa, masing-masing pramugari Indonesia Air Transport, Florencia Lolita Wibisono, serta pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP), Deden Maulana.
Pesawat bernombor pendaftaran PK-THT yang dalam penerbangan dari Jogjakarta ke Makassar itu terhempas pada Sabtu lalu. Pesawat berkenaan membawa 10 individu, yang terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang. Kesemua mangsa disahkan terkorban.