Utama

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Seorang Mangsa Ditemukan Dalam Pencarian Pesawat IAT ATR 42-500
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport (IAT) yang dipercayai terhempas selepas melanggar kawasan pergunungan di Gunung Bulusaraung, Kabupaten Maros, mencatat perkembangan penting apabila satu jasad mangsa berjaya ditemui, pada Ahad.
Ketua Kantor Basarnas Makassar, Muhammad Arif Anwar, memaklumkan bahawa jasad berkenaan ditemui oleh pasukan SAR Gabungan pada kedalaman jurang kira-kira 200 meter, berhampiran serpihan pesawat.
“Pada tengah hari tadi, satu mangsa lelaki ditemui di dasar jurang sekitar 200 meter. Mangsa berada berhampiran serpihan pesawat dan ketika ini proses evakuasi sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui di Posko Operasi SAR di Kabupaten Maros.

Menurut beliau, jasad mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya itu ditemui sekitar jam 2.20 petang (WITA) pada koordinat 04°54’44″S dan 119°44’48″S oleh pasukan Rescue Unit (SRU) 3.
Difahamkan, proses membawa keluar jasad dilakukan melalui laluan pendakian berikutan keadaan kawasan insiden yang mencabar dan sukar dilalui.
Selain penemuan jasad, pasukan SRU 3 turut menemukan beberapa serpihan pesawat termasuk bahagian rangka, kerusi penumpang serta mengenal pasti lokasi enjin pesawat berdasarkan pemerhatian visual di lapangan.

Sebagai Penyelaras Misi SAR (SAR Mission Coordinator), Arif menjelaskan bahawa operasi pencarian dibahagikan kepada empat unit SRU mengikut sektor masing-masing.
Arif turut memaklumkan bahawa pasukan SAR kini berada di puncak Gunung Bulusaraung dan bersiap sedia untuk menurunkan jenazah mangsa melalui laluan pendakian, bersama serpihan pesawat yang ditemui.
Bagaimanapun, operasi SAR berdepan cabaran besar berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu serta kawasan insiden yang ekstrem.
Sejak awal pagi, kawasan puncak dilanda hujan lebat dan kabus tebal dengan jarak penglihatan terhad sekitar lima meter, sekali gus menjejaskan pergerakan pasukan.
“Keadaan cuaca menyebabkan beberapa pergerakan, termasuk penurunan secara menegak, terpaksa dibatalkan demi keselamatan anggota,” jelasnya.
Beliau menegaskan operasi SAR akan diteruskan dengan mengutamakan keselamatan semua anggota serta memperkukuh koordinasi antara agensi terlibat bagi mencari baki mangsa yang masih dilaporkan hilang.
“Kami komited melaksanakan operasi ini secara maksimum, profesional dan berasaskan penilaian risiko di lapangan. Kami memohon doa dan sokongan masyarakat agar proses evakuasi berjalan lancar,” katanya.
Media tempatan sebelumnya melaporkan pesawat yang membawa tujuh kru dan tiga penumpang itu dilaporkan terputus hubungan dengan kawalan trafik udara kira-kira tengah hari Sabtu di Daerah Maros semasa dalam penerbangan dari Yogyakarta ke Makassar.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video yang memaparkan penggunaan helikopter oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk mengesan ekor pesawat di lereng Gunung Bulusaraung, namun ketika itu belum terdapat sebarang tanda penemuan mangsa.
BACA: Selepas Banjir Dan Tanah Runtuh, Aceh Kini Berdepan Kebakaran Hutan
Sumber: ANTARA News