Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pesawat Kecil Terhempas Di Lapangan Terbang, Empat Maut
Empat orang terbunuh apabila sebuah pesawat kecil terhempas di lapangan terbang wilayah London pada Ahad, lapor AFP.
Pesawat Beechcraft B200 itu terhempas sekitar jam 4.00 petang sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang London Southend di tenggara England. Ia dijadualkan dalam perjalanan ke Belanda.
“Malangnya, kami mengesahkan bahawa empat orang di dalam pesawat itu meninggal dunia.
“Kami sedang berusaha untuk mengesahkan identiti mereka secara rasmi. Pada peringkat ini, kami percaya keempat-empatnya adalah warga asing,” kata Ketua Polis Essex, Superintendan Morgan Cronin kepada pemberita.
Tambahnya, pihak polis juga sedang menemu bual puluhan saksi untuk membantu siasatan. Selain itu detektif serta pasukan forensik sedang berusaha untuk membina gambaran yang tepat mengenai apa sebenarnya yang berlaku.
Ujarnya lagi, lapangan terbang itu akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak.
Polis juga telah menyeru agar orang ramai di sebuah kelab golf dan kelab ragbi berhampiran untuk segera mengosongkan premis sebagai langkah berjaga-jaga.
Rakaman video tular menunjukkan sebuah pesawat berukuran 12 meter (39 kaki) sedang terbakar dan kepulan asap hitam menyelimuti lokasi kejadian.
Southend-on-Sea terletak kira-kira 65 kilometer di timur ibu negara, dan lapangan terbangnya adalah yang keenam terbesar di kawasan London.
Sumber: AFP