Pernah tak buka pintu peti sejuk, tiba-tiba nampak air bertakung di bahagian bawah?
Nampak macam perkara kecil, tetapi kalau dibiarkan, bukan saja boleh menyebabkan makanan rosak, malah mungkin menandakan ada sesuatu yang tidak kena pada peti sejuk.
Jangan panik dulu.
Masalah ini sebenarnya boleh berlaku disebabkan beberapa perkara yang mungkin kita sendiri tidak sedar.
Jom semak antara punca biasa peti sejuk berair dan apa yang boleh dilakukan.
1. Saluran nyahbeku tersumbat
Antara punca paling biasa ialah saluran nyahbeku atau defrost drain tersumbat.
Peti sejuk moden mempunyai sistem nyahbeku bagi mengelakkan pembentukan ais berlebihan. Apabila ais mencair, air sepatutnya mengalir keluar melalui saluran kecil. Namun, sisa makanan, kotoran atau ais boleh menyumbat saluran itu.
Akibatnya, air tidak dapat mengalir dengan baik dan mula bertakung di dalam peti sejuk.
Apa yang boleh dilakukan?
Cabut plag peti sejuk terlebih dahulu. Kemudian, cari saluran nyahbeku yang biasanya terletak di bahagian belakang dan bersihkan sumbatan dengan berhati-hati menggunakan air suam. Jika masih tersumbat, gunakan alat yang lembut dan fleksibel untuk membersihkan bahagian tersebut.
2. Getah pintu peti sejuk sudah rosak
Jangan pandang remeh pada getah di sekeliling pintu peti sejuk.
Bahagian ini penting untuk memastikan pintu tertutup rapat. Jika getah sudah merekah, rosak atau longgar, udara panas dari luar boleh masuk ke dalam peti sejuk.
Keadaan itu boleh menyebabkan kelembapan dan pemeluwapan berlebihan sehingga air mula terkumpul.
Apa yang boleh dilakukan?
Periksa keadaan getah pintu dan bersihkan dengan air serta sabun lembut. Jika terdapat kerosakan yang ketara, mungkin sudah tiba masanya untuk menggantikannya.
3. Tetapan suhu tidak sesuai
Suhu peti sejuk juga memainkan peranan penting.
Jika suhu terlalu tinggi, peti sejuk mungkin tidak dapat menyejukkan ruang dengan baik dan mengawal kelembapan secara berkesan. Akhirnya, wap air boleh terkumpul dan menjadi punca air bertakung.
Secara umum, suhu peti sejuk boleh ditetapkan sekitar 3°C, manakala bahagian penyejuk beku sekitar -18°C.
Selepas membuat pelarasan, pantau keadaan peti sejuk selama beberapa hari untuk melihat sama ada masalah masih berlaku.
4. Saluran bekalan air bocor
Bagi peti sejuk yang dilengkapi pembuat ais atau dispenser air, kemungkinan terdapat kebocoran pada saluran bekalan air.
Cuba periksa sambungan dan paip bagi melihat sama ada terdapat tanda-tanda kebocoran atau kerosakan.
Sambungan yang longgar boleh diketatkan, manakala saluran yang rosak mungkin perlu diganti. Namun, jika tidak pasti untuk melakukannya sendiri, lebih baik mendapatkan bantuan juruteknik.
5. Saluran pemeluwapan tersumbat
Selain saluran nyahbeku, peti sejuk juga mempunyai sistem untuk menguruskan kelembapan.
Jika saluran pemeluwapan tersumbat, air boleh bertakung di bahagian bawah peti sejuk atau menitis hingga ke lantai dapur.
Apa yang boleh dilakukan?
Cari saluran tersebut, yang biasanya berada di bahagian belakang atau bawah peti sejuk, dan bersihkan dengan berhati-hati. Pastikan juga bekas tadahan air berada dalam keadaan bersih dan tidak dipenuhi kotoran.
6. Cara menyimpan makanan pun boleh jadi punca
Ya, susunan makanan dalam peti sejuk juga boleh menyumbang kepada masalah kelembapan.
Makanan yang tidak ditutup atau dibungkus dengan baik boleh melepaskan kelembapan ke dalam ruang peti sejuk. Selain itu, peti sejuk yang terlalu penuh boleh mengganggu pengaliran udara.
Jadi, gunakan bekas kedap udara, pastikan makanan dibungkus atau ditutup dengan sempurna dan elakkan menyumbat terlalu banyak barang ke dalam peti sejuk.
Bila perlu panggil juruteknik?
Kalau dah cuba beberapa cara tetapi air masih bertakung, mungkin masalah itu melibatkan komponen yang memerlukan pemeriksaan lebih lanjut.
Jangan paksa diri membaiki bahagian yang tidak pasti kerana ia boleh menyebabkan kerosakan menjadi lebih teruk. Dalam keadaan ini, mendapatkan bantuan juruteknik bertauliah mungkin pilihan yang lebih selamat.
Kadang-kadang, masalah peti sejuk penuh air bukanlah sesuatu yang besar.
Namun, lebih cepat puncanya dikenal pasti, lebih mudah untuk mengelakkan masalah daripada berpanjangan.

