Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PM Jepun, Shigeru Ishiba Umum Peletakan Jawatan
Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba mengumumkan peletakan jawatan selepas kurang setahun memegang tampuk kepimpinan, susulan kekalahan besar partinya dalam dua pilihan raya.
Keputusan itu dibuat sehari sebelum Parti Liberal Demokratik (LDP), yang telah memerintah Jepun hampir tujuh dekad, dijangka mengadakan undian dalaman.
Difahamkan, undian tersebut berkemungkinan memaksa Ishiba berundur daripada jawatannya.
Di bawah pentadbiran Ishiba, LDP mengalami tamparan hebat apabila hilang majoriti di Dewan Rendah buat pertama kali dalam tempoh 15 tahun, sebelum turut kehilangan majoriti di Dewan Tinggi pada Julai lalu.
Jepun merupakan ekonomi keempat terbesar dunia serta sekutu rapat Amerika Syarikat (AS).
Namun, negara itu kini berdepan ketidakpastian politik di tengah-tengah peningkatan ketegangan dengan China dan ancaman keselamatan serantau.
“Selepas tercapainya kesepakatan dalam rundingan berhubung tarif AS, saya percaya inilah masa yang sesuai untuk berundur,” kata Ishiba, merujuk kepada perjanjian yang ditandatangani minggu lalu bagi mengurangkan tarif dikenakan Presiden AS, Donald Trump terhadap kereta dan eksport Jepun.
Sebelum ini, Ishiba bertegas enggan melepaskan jawatan kerana mahu menyelesaikan rundingan perdagangan tersebut terlebih dahulu.
“Saya percaya isu tarif ini adalah krisis nasional yang wajib diselesaikan di bawah tanggungjawab kerajaan saya,” katanya.
Ishiba, 68, menegaskan beliau akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat sehingga penggantinya dipilih.
LDP kini akan memilih pemimpin baharu yang seterusnya akan disahkan sebagai perdana menteri menerusi undi di Parlimen.
Dilantik pada Oktober 2024 dengan janji menangani kenaikan kos sara hidup, Ishiba gagal meyakinkan rakyat ketika Jepun berdepan inflasi, tekanan ekonomi dan hubungan politik yang tegang dengan Washington.
Kenaikan harga barang, khususnya beras yang meningkat dua kali ganda dalam tempoh setahun, menjejaskan sokongan terhadap beliau.
Popularitinya turut merosot akibat beberapa kontroversi, termasuk kritikan kerana hanya melantik dua wanita dalam Kabinet serta pemberian hadiah mewah kepada ahli parti.
BACA: Anutin Ambil Alih Jawatan PM Thailand Selepas Perkenan Diraja
Sumber: BBC