Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rakyat Kini Boleh 'Mesej' Dengan Avatar AI Anwar Ibrahim Di Whatsapp

Anwar Ibrahim
Kredit: Anwar Ibrahim

Rakyat Kini Boleh 'Mesej' Dengan Avatar AI Anwar Ibrahim Di Whatsapp

Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim secara rasmi memperkenalkan PMX AI, iaitu avatar kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan orang ramai berinteraksi dengannya secara lebih mudah menerusi WhatsApp pada Sabtu.

Beliau berkata, orang ramai boleh berkongsi pandangan, kebimbangan dan aspirasi secara terus melalui avatar AI itu.

Malah Anwar turut mengajak rakyat menyertai inisiatif berkenaan bagi mewujudkan perbincangan yang lebih 'segar' demi negara dan masyarakat.

"Malaysia dibina oleh cita, kudrat dan kekuatan rakyatnya yang rencam kaum dan budaya.

"Justeru, melalui inisiatif dan ikhtiar yang terbentang, saya mahu terus mendengar dan menggarap harapan anak muda, pengorbanan oleh sekalian ibu bapa, warga emas serta suara rakyat mendambakan masa depan yang jauh lebih baik.

"Jadi, saya amat berharap bahawa kalian boleh kongsikan pandangan, kebimbangan, dan aspirasi secara terus melalui avatar ini kerana saya yakin negara hanya akan bertambah baik sekiranya ia berpaksi pada suara dan kehendak rakyat.

"Saya mengajak semua untuk ikut serta dalam kempen ini dan mula mencipta wacana yang segar untuk negara dan rakyat," katanya.

Menerusi video pelancaran itu, Anwar menyifatkan PMX AI sebagai "kembar digital" yang diinspirasikan oleh nilai dan visinya.

Menurut beliau, avatar itu diwujudkan sebagai saluran baharu untuk rakyat berkongsi pandangan dan meneroka idea.

Avatar AI tersebut boleh dihubungi menerusi WhatsApp di nombor +60378850523