Lembah Klang, 30 Mac 2022 – PotboyMart, kedai runcit berkonsepkan O2O (Offline-to-Online) pertama di Malaysia kini meneruskan misi mereka dengan dua kempen Ramadan, iaitu ‘Jam Riang-Ria Ramadan’ dan ‘Kongsi Rezeki’ untuk menyebarkan harapan kepada masyarakat pada bulan mulia ini di kala negara sedang berhadapan dengan isu kenaikan kos sara hidup dan endemik.
Kempen Ramadan mereka telah bermula dengan kempen pertama iaitu ‘Jam Riang-Ria Ramadan’ yang mana para pelanggan akan dapat menikmati diskaun 20% untuk seluruh kedai di semua cawangan PotboyMart pada dua slot masa yang telah ditetapkan, iaitu slot pertama pada jam 12 tengah hari hingga 2 petang dan slot kedua iaitu pada jam 5 petang sehingga 9 malam. Program pertama ini akan berlangsung sehingga 8 Mei 2022.

Tidak terhenti setakat jualan diskaun, PotboyMart juga melaksanakan program CSR dipanggil ‘Kongsi Rezeki’ yang merupakan kemuncak kepada kempen Ramadan mereka. Kempen ini bertujuan untuk membantu isi rumah yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan barang keperluan secara percuma selain menggalakkan orang awam untuk memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan dalam komuniti sekitar mereka.

Melalui kempen ‘Kongsi Rezeki’ yang bermula pada 1 April, sesiapa sahaja boleh pergi ke cawangan PotboyMart yang berdekatan dan mengambil barangan keperluan yang terletak di rak khas dalam setiap cawangan. Orang awam yang ingin menyumbang juga boleh meletakkan barangan di rak tersebut. Namun, sebelum mengambil barangan tersebut secara percuma, mereka perlu menyukai halaman Facebook Potboy atau mengambil gambar dan muat naik gambar serta kongsikan kepada halaman Facebook Potboy.

PotboyMart yang kini telah mempunyai 65 cawangan di sekitar Lembah Klang ini merancang dua kempen ini sebagai simbolik kepada bulan mulia Ramadan yang menggalakkan umat Islam menderma dan memberi satu sama lain.
Selain kedua kempen ini, PotboyMart telah dikenali dalam kalangan komuniti dengan kempen jualan murah mereka seperti 11.11 Crazy Sale dan 11.12 Storewide Sale yang mana mereka menjual semua barangan dengan separuh harga, serta jualan Ice Cream Day yang berlangsung setiap 11 haribulan yang mana aiskrim dijual pada separuh harga.
