Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) meraih dua pengiktirafan pada Malaysia HR Tech & Innovation Conference & Expo 2026 yang berlangsung pada 22 dan 23 September lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Prasarana memaklumkan antara pengiktirafan diterima ialah HR Tech Organisation of the Year, berdasarkan pencapaian organisasi dalam melaksanakan transformasi latihan dan pembangunan modal insan menerusi penggunaan teknologi.
Menurut kenyataan itu, transformasi berkenaan memusatkan akses kepada pembelajaran, sumber pengetahuan, penilaian dan analitik, selain menawarkan pengalaman pembelajaran kendiri, mudah alih serta diperibadikan.
Ia turut disokong penggunaan teknologi Realiti Maya (VR) dan Realiti Terimbuh (AR).
“Platform ini yang dikenali sebagai Prasarana Learning Management System (PALMS) ialah sistem pembelajaran digital yang dibangunkan untuk menangani cabaran penyampaian latihan secara konsisten kepada semua petugas merentasi operasi rel, bas, teknikal dan korporat di Lembah Klang dan Pulau Pinang untuk lebih 13,000 warga kerja,” menurut kenyataan itu.
Pekerja Prasarana Raih Pengiktirafan Individu
Pencapaian itu turut disusuli pengiktirafan peringkat individu apabila pekerja Jabatan Pembelajaran dan Pembangunan Prasarana, Muhammad Azfar Amran, 28, menerima Early Tech HR Professional Award.
Pengiktirafan itu diberikan atas peranannya dalam memacu transformasi pembelajaran digital menerusi PALMS.
Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Prasarana, Dr Harigaran Bharatham berkata, pengiktirafan berkenaan mencerminkan usaha dan komitmen berterusan Prasarana dalam memperkasakan pembangunan modal insan.
Katanya, ia juga membuktikan usaha organisasi dalam membangunkan keupayaan seiring perkembangan teknologi serta keperluan dunia pekerjaan.
“Pengiktirafan berprestij itu bukan sahaja mencerminkan pencapaian membanggakan Prasarana, malah mengangkat kedudukan organisasi setanding dengan konglomerat terkemuka negara, termasuk daripada sektor perbankan dan telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan sama.
Sementara itu, Malaysia HR Tech & Innovation Conference & Expo 2026 menghimpunkan lebih 2,000 pemimpin dan inovator bagi membincangkan perkembangan teknologi serta pendekatan berteraskan sumber manusia dalam membentuk organisasi yang lebih bersedia menghadapi perubahan, adaptif dan berdaya saing.

