Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru anggota keselamatan yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 hari ini supaya membuat pilihan dengan penuh amanah demi masa depan negeri itu.
Menerusi satu hantaran di Facebook malam tadi, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, setiap undi yang diberikan perlu berlandaskan pertimbangan terbaik bagi menjamin kestabilan, kemajuan serta kesejahteraan Bangsa Johor.
“Semoga seluruh proses pengundian awal anda semua berjalan dengan lancar, aman dan dipermudah oleh Allah SWT. Insya-Allah,” katanya sambil mengucapkan selamat mengundi kepada semua anggota keselamatan yang terlibat.
Hari ini, seramai 24,751 pengundi awal layak menunaikan tanggungjawab mereka di 64 pusat mengundi awal yang mula dibuka pada pukul 8 pagi.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi awal itu membabitkan 12,041 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan masing-masing, selain 12,710 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka.
Pusat-pusat pengundian awal berkenaan akan ditutup secara berperingkat antara pukul 12 tengah hari hingga 6 petang bergantung kepada lokasi dan jumlah pengundi berdaftar.
PRN Johor Ke-16 menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing mempertaruhkan 56 calon, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 33 calon, Parti Bersama Malaysia (Bersama) 15 calon, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) empat calon, manakala Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing meletakkan seorang calon.
Selain itu, enam calon Bebas turut bertanding pada pilihan raya kali ini.
Hari pengundian bagi PRN Johor Ke-16 dijadual berlangsung pada Sabtu ini.