Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PRN NS: Gen Z Tunai Tanggungjawab Mengundi Kali Pertama, Akui Berdebar

Gen Z Tunai Tanggungjawab
Kredit: Bernama

PRN NS: Gen Z Tunai Tanggungjawab Mengundi Kali Pertama, Akui Berdebar

SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Bagi pengundi kali pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini, detik memangkah calon pilihan bukan sekadar memenuhi tanggungjawab, malah menjadi pengalaman yang mengundang pelbagai rasa.

Ada antara mereka mengakui mengalami situasi tangan menggigil, malah tidak kurang juga berdebar-debar ketika melangkah masuk ke pusat pengundian yang dibuka bermula 8 pagi tadi.

Hani Eriqa Mazlan, 21, yang bekerja sebagai pereka fesyen di Kuala Lumpur, berkata pengalaman kali pertama mengundi memberikan perspektif berbeza kepadanya memandangkan sebelum ini hanya mengetahui proses pengundian menerusi apa yang dilihat dan didengar sahaja.

“Memang berdebar dan menggigil tangan juga sebab ini kali pertama mengundi. Sebelum ini kita tahu mengenai pilihan raya, tetapi apabila sudah lalui pengalaman sendiri, lain rupanya.

“Saya sudah lihat apa yang berlaku dan tahu apa yang terbaik untuk Negeri Sembilan. Jadi hari ini kita buatlah pilihan,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi di pusat mengundi Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor di sini, hari ini.

Anak kedua itu hadir ke pusat pengundian bersama adiknya, Hani Mazri Eyna, 20, yang turut menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama, selain ditemani lima lagi ahli keluarganya.

Hani Mazri Eyna, yang juga seorang pelajar kolej berkata pengalaman pertama mengundi membuka mata tentang pentingnya setiap undi dalam menentukan wakil rakyat yang akan membawa suara dan aspirasi masyarakat.

“Rasa berdebar itu memang ada tetapi dalam masa yang sama saya berasa sedikit teruja sebab ini adalah kali pertama kami dapat tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Pengalaman sama turut dirasai M. Lavinesh Nair, 18, dari Kampung Jiboi yang tiba di pusat mengundi kira-kira 9 pagi bersama keluarganya.

Pelajar di sebuah kolej di sini mengakui sedikit gementar apabila melihat ramai pengundi berada di pusat mengundi selain pada awalnya berasa keliru mengenai proses yang perlu dilalui.

“Memang gementar juga sebab ramai orang dan saya sedikit keliru, tetapi pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) banyak membantu dan tunjukkan apa yang perlu dibuat.

“Bila sudah lalui sendiri proses mengundi, barulah saya tahu macam ini rupanya proses mengundi,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata peluang mengundi buat kali pertama memberikan pengalaman baharu kepadanya sebagai golongan muda, yang kini mempunyai tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat bagi membawa suara rakyat di Negeri Sembilan.

Kadar keluar mengundi bagi PRN itu mencecah 28.11 peratus setakat 11 pagi ini.

Sebanyak 859,760 pemilih berdaftar, termasuk 7,391 pengundi pos terlibat dalam proses pengundian bagi memilih wakil rakyat baharu hari ini, yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi DUN.

Sejumlah 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 28 Julai lepas, sekali gus melepasi sasaran 90 peratus ditetapkan SPR.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

Intipati
  • Pengundi kali pertama di Negeri Sembilan berkongsi pengalaman berdebar ketika membuang undi.
  • Hani Eriqa dan adiknya hadir bersama keluarga untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
  • Kadar keluar mengundi PRN Negeri Sembilan mencecah 28.11 peratus setakat 11 pagi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan