Utama

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Project Blue Dot, inisiatif kesedaran dan saringan kanser prostat yang diterajui oleh Rotary Club of Kuala Lumpur DiRaja (RCKLDR), mencatat satu pencapaian penting di peringkat nasional menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama National Cancer Society Malaysia (NCSM) dan BIG CARiNG Group.
Kerjasama tiga pihak ini kini diperluaskan ke seluruh negara bagi memperkasa usaha saringan kanser prostat dan meningkatkan capaian pengesanan awal di Malaysia. Pelaksanaan di peringkat nasional ini dibina berasaskan kejayaan projek perintis di Lembah Klang yang telah menyaring lebih 1,000 lelaki serta membuktikan keperluan mendesak untuk akses pengesanan awal yang lebih meluas.
Pencapaian ini diumumkan sempena sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 bertemakan “United by Unique” yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan.
Hari Kanser Sedunia merupakan inisiatif global yang diterajui oleh Union for International Cancer Control (UICC), yang menyeru kerajaan, organisasi dan komuniti untuk memperkukuh kesedaran, pencegahan, pengesanan awal serta akses rawatan kanser. Di Malaysia, program ini selari dengan usaha nasional dalam memperkasa kawalan kanser dan advokasi kesihatan awam yang lebih mampan.

Peranan NCSM dalam Memperkasa Kesedaran dan Tindakan Komuniti
Sebagai antara organisasi advokasi kanser utama di Malaysia, NCSM menjadikan platform Hari Kanser Sedunia 2026 sebagai medan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan merentas sektor dalam satu program nasional yang berimpak tinggi. Antara pengisian termasuk perbincangan mengenai strategi pencegahan, pembiayaan rawatan kanser, kesihatan mental, pemakanan dan penjagaan holistik.
Kol. Bersekutu (PA) Prof. Dr. Murallitharan Munisamy, Pengarah Urusan National Cancer Society Malaysia berkata, kekuatan kawalan kanser di peringkat nasional bergantung kepada kerjasama berterusan serta mobilisasi komuniti yang berkesan.
“Perluasan Project Blue Dot ke seluruh negara merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh usaha kesedaran dan pengesanan awal kanser di Malaysia. Di NCSM, kami percaya pencegahan kanser yang bermakna bermula di peringkat komuniti, disokong oleh kerjasama kukuh dan penglibatan awam yang berterusan.”
Daripada Inisiatif Rotary kepada Gerakan Saringan Nasional
Project Blue Dot bermula sebagai inisiatif berasaskan komuniti yang bertujuan menggalakkan saringan lebih awal dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup melalui pengesanan awal.
Setakat ini, lebih 1,000 lelaki telah menjalani saringan, dengan lebih 100 individu merekodkan bacaan PSA yang tinggi, dan sekitar 10 hingga 11 kes dikesan sebagai kanser. Dapatan ini menggariskan keperluan mendesak untuk memperluaskan akses saringan dan kesedaran di seluruh negara.
Dato’ Dr Prakash Rao, Presiden Rotary Club of Kuala Lumpur DiRaja berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen Rotary terhadap impak kesihatan jangka panjang yang boleh diukur. “Project Blue Dot berlandaskan satu hakikat jelas iaitu pengesanan awal menyelamatkan nyawa.
Kerjasama ini memperkukuh keupayaan kami untuk menjangkau lebih ramai lelaki dengan lebih pantas, serta memastikan penyelarasan rawatan susulan yang lebih berkesan.”
Pradeep Balaram, Pengarah Project Blue Dot, menyifatkan peluasan ini sebagai langkah penting dalam memperbesarkan gerakan yang telah membuktikan keberkesanannya di lapangan.
“Ini bukan sekadar kesedaran, ini adalah tindakan dengan hasil yang boleh diukur. Apabila saringan dilakukan lebih awal, kita bukan sahaja mengesan kanser, malah melindungi keluarga daripada kehilangan ayah, suami, abang dan anak lelaki terlalu awal.”
Kepimpinan Klinikal dan Advokasi Saringan
Dr Malwinder, yang juga dikenali sebagai “The Bald Oncologist” serta Ketua Projek Project Blue Dot, menekankan kepentingan menjalani saringan sebelum gejala muncul.
“Kanser prostat boleh berlaku tanpa simptom pada peringkat awal. Lebih awal risiko dikenal pasti, lebih baik hasil rawatannya. Kerjasama nasional ini membolehkan saringan dibawa lebih dekat kepada komuniti dan menjadikannya amalan biasa dalam kalangan lelaki.”

Pasukan kepimpinan Project Blue Dot terdiri daripada:
Dato’ Dr Prakash Rao – Presiden, Rotary Club of Kuala Lumpur DiRaja
Pradeep Balaram – Pengarah Project Blue Dot
Dr Malwinder (“The Bald Oncologist”) – Ketua Projek
Aiman Manan – Ketua Perkongsian Strategik & Mobilisasi
Project Blue Dot dilaksanakan melalui laluan penjagaan yang diselaraskan secara sistematik. Saringan awal PSA ditawarkan di cawangan terpilih BIG Pharmacy dan CARiNG Pharmacy serta lokasi komuniti yang dianjurkan oleh Rotary KL DiRaja, dengan keutamaan diberikan kepada lelaki berusia 45 tahun ke atas, khususnya daripada kumpulan B40 dan berisiko tinggi. Keputusan ujian dinilai di bawah pemantauan klinikal NCSM yang turut menyediakan kaunseling, penilaian risiko dan pengurusan rujukan.
Individu yang merekodkan bacaan PSA tinggi akan dirujuk ke hospital rakan untuk penilaian lanjut termasuk konsultasi pakar urologi bersubsidi, prosedur diagnostik seperti biopsi dan imbasan PET PSMA jika diperlukan. Pesakit yang layak juga akan menerima bantuan kewangan serta sokongan berterusan sepanjang rawatan dan fasa kelangsungan hidup.
Memperluas Capaian Komuniti
Impak nasional Project Blue Dot digerakkan melalui pendekatan turun padang yang menghubungkan kesedaran kepada tindakan.
BIG CARiNG Group menyokong usaha ini dengan memperluaskan inisiatif ke kawasan kejiranan melalui rangkaian BIG Pharmacy dan CARiNG Pharmacy, sekali gus menyediakan akses mudah untuk lelaki mendapatkan maklumat, bertanya soalan dan menjalani saringan PSA berhampiran tempat tinggal mereka.
Encik Chong Yeow Siang, Ketua Pegawai Operasi BIG CARiNG Group berkata, “Apabila kami memulakan Project Blue Dot di Lembah Klang bersama NCSM dan Rotary Club of KL DiRaja, fokus kami adalah untuk menjadikan langkah pertama itu mudah dan mesra iaitu membolehkan lelaki memeriksa tahap PSA di lokasi yang sudah mereka percayai.
Sambutan yang diterima membuktikan bahawa kemudahan akses memainkan peranan penting dalam mengatasi rasa ragu. Kami amat menggalakkan peluasan ke seluruh negara dan komited untuk terus menjadikan cawangan BIG dan CARiNG Pharmacy sebagai pusat saringan yang mudah diakses, selain menggalakkan perbincangan awal mengenai kesihatan prostat.”
Seiring fasa peluasan nasional ini, Project Blue Dot turut membuka ruang kerjasama kepada organisasi korporat, persatuan, kumpulan komuniti dan rakan penjagaan kesihatan yang berkongsi misi memperkukuh saringan awal serta advokasi kesihatan lelaki di Malaysia.
Ikuti BIG Pharmacy di Facebook (www.facebook.com/bigpharmacymy) dan Instagram (www.instagram.com/bigpharmacymy/) atau CARiNG Pharmacy di Facebook (www.facebook.com/caring2u/) dan Instagram (www.instagram.com/caringpharmacy_my/) untuk maklumat lanjut mengenai cawangan terlibat dan jadual saringan Project Blue Dot.