Rakyat India Kembali Guna Kayu Api Untuk Memasak
Ratusan hotel, restoran, asrama, gerai makanan tepi jalan serta kediaman individu di beberapa daerah di India terpaksa beralih kepada penggunaan kayu api berikutan krisis bekalan bahan api memasak, khususnya gas petroleum cecair (LPG).
Times of India melaporkan sejumlah isi rumah dan perniagaan kecil tidak mampu mendapatkan bekalan gas memasak dengan konsisten sehingga mereka beralih kepada kayu api sebagai alternatif sejak dua minggu lalu.
“Sejak minggu lalu, saya memasak menggunakan kayu api di dapur tradisional berikutan ketiadaan gas memasak,” ujar seorang surirumah berusia 43 tahun.
Difahamkan, permintaan mendadak itu turut menyebabkan harga kayu api meningkat daripada sekitar Rs2,000 hingga Rs3,000 kepada Rs3,500 bagi setiap kuintal.
Orang ramai kini sanggup memasuki kawasan hutan bagi mendapatkan bekalan kayu api.
Difahamkan, seorang pengumpul kayu api mampu memperoleh pendapatan sekitar Rs200 hingga Rs300 sehari.
“Kami mengumpul kayu api dalam jumlah yang banyak dan menjualnya di pasaran,” katanya.

