Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Rakyat Malaysia Buat Warga Indonesia ‘Terkedu’, Ucap Terima Kasih Tak Putus-Putus
Bermula daripada gelombang demonstrasi besar-besaran oleh para pekerja dan kesatuan buruh, suasana di Indonesia kini semakin ‘panas’.
Ketegangan itu memuncak apabila berlaku insiden tragis melibatkan seorang pemuda berusia 21 tahun yang bekerja sebagai penunggang teksi motosikal (gojek).
Mangsa dilaporkan maut selepas dilanggar dan digilis kenderaan milik pasukan khas polis, Briged Mobil (Brimob).
Kisah ini pantas mencetuskan perhatian meluas di media sosial, yang bukan sahaja mengundang simpati rakyat Indonesia.
Bahkan, ia turut menarik perhatian masyarakat dunia termasuk rakyat Malaysia, yang jelas bersolidariti dengan nasib saudara serumpun.
Di media sosial, rakyat Malaysia dilihat merasa terpanggil menunjukkan sokongan terhadap mereka yang sedang berjuang menuntut keadilan di Indonesia.
Salah satu perkongsian yang menjadi tular menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia memilih untuk bersolidariti melalui aplikasi Grab.
Dengan menggunakan tanda pagar #KitaJiran, inisiatif ini cepat merebak dan berjaya mencuri perhatian masyarakat Indonesia.
Dalam pada itu, ramai dalam kalangan mereka terharu melihat usaha rakyat Malaysia yang tanpa ragu menghulurkan bantuan.
Menerusi sebuah video yang tular, seorang warga Indonesia meluahkan rasa syukur dan penghargaan terhadap sokongan daripada rakyat Malaysia.
“Satu Indonesia patut tahu, jiran kita di Malaysia sedang ramai-ramai membantu rakyat Indonesia, terutamanya driver Grab di Jakarta.
“Mereka tukar lokasi aplikasi ke Jakarta, order GrabFood, kemudian makanan itu dibahagikan oleh pemandu Grab atau Gojek di sini.
“Terima kasih banyak kepada rakyat Malaysia yang sudi menyokong Indonesia,” katanya.
Tidak hanya itu, malah di ruangan kapsyen individu tersebut turut menitipkan doa buat rakyat Malaysia.
“Semoga kebaikan korang dibalas berlipat kali ganda oleh Allah SWT. Aamiin ya Rabb,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, jelas terlihat betapa eratnya hubungan dua negara serumpun ini, dengan netizen dari Malaysia dan Indonesia berbalas kata semangat.
“Akak tak perlu terima kasih sebab apa yang kami buat atas dasar perikemanusiaan dan atas dasar belas ikhsan kami. Mana tahu satu hari nanti Indonesia bantu Malaysia. Actually Indonesia banyak bantu Malaysia, contoh bekerja buruh dan lain-lain. Kami doakan Indonesia terus berjuang demi keadilan kamu.”
“Dah macam adik-beradik lah kan? Gaduh macam mana pun, bila adik-beradik kita dilanda susah mesti kita saling menolong semampu kita.”
“Cepat sembuh Indonesia. Kamu itu seperti kakak atau abang kita tau. Kamu sakit, kita juga tak happy. Kamu sihat, kita berantem lagi ok. Love hate relationship kakak adik. Rindu nak jalan-jalan shopping di Jakarta and Bandung. Ayuh, semangat ya kakak abang, nanti kita datang ke sana lagi.”
“Cepat sembuh. Kamu yang terluka tapi kami di sini juga merasakan sakitnya. Nanti kita gaduh-gaduh lagi okay.”
“Saya orang Malaysia turut berdukacita dengan kejadian di Indonesia. Saya berdoa semoga semua urusan dipermudahkan dan semoga segalanya aman kembali ya.Warga Indonesia, jaga diri kalian baik-baik di sana ya.”
Hakikatnya, hubungan antara Malaysia dan Indonesia tidak pernah terputus, meskipun kadangkala tercetus perselisihan kecil.
Setiap kali musibah melanda, rasa kemanusiaan dan ikatan sebagai saudara serumpun sentiasa mengatasi segala perbezaan.
Walaupun kita sering bergurau tentang persaingan atau ‘gaduh kecil’ di media sosial, hakikatnya kita tetap saling memerlukan.
Dalam suka dan duka, Malaysia dan Indonesia sudah terbukti sentiasa ada untuk satu sama lain. Mungkin inilah yang menjadi keindahan sebenar hubungan jiran serumpun.
BACA: First Time Bawa Kereta Masuk Malaysia, Lelaki Indonesia Akui ‘Hairan’
BACA: Lelaki Indonesia Cerita Sebab Malaysia Berbeza Dari Negara Lain
BACA: Dah Travel Merata, Pelancong Ni Paling ‘Hairan’ Dengan Rakyat Malaysia
Sumber: TikTok @lrspusp, TikTok @muhammadyuri36