Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ramai Tak Tahu, 5 Peristiwa Besar Ini Berlaku Pada 9 April Di Malaysia

peristiwa malaysia 9 April
Gambar hiasan. Kredit: Bernama

Ramai Tak Tahu, 5 Peristiwa Besar Ini Berlaku Pada 9 April Di Malaysia

Sejarah Malaysia dipenuhi dengan pelbagai peristiwa penting yang membentuk perjalanan negara hingga ke hari ini.

Setiap tarikh sebenarnya menyimpan kisah tersendiri, sama ada melibatkan politik, keselamatan, pembangunan mahupun pencapaian negara di peringkat antarabangsa.

Ada peristiwa yang mencetuskan perubahan besar kepada pentadbiran negara, manakala sebahagian lagi memberi kesan kepada kehidupan rakyat secara langsung.

Walaupun ada yang berlaku puluhan tahun lalu, kesannya masih dapat dirasai sehingga kini dan terus menjadi rujukan dalam lipatan sejarah negara.

Bersempena tarikh hari ini, terdapat beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku di Malaysia dan wajar dikenang semula.

Kali ini, SK senaraikan beberapa peristiwa penting yang tercatat dalam sejarah negara yang berlaku pada tarikh 4 April.

1951: Sistem Pemerintahan Kabinet Diperkenalkan Di Malaya

Pada 9 April 1951, sistem pemerintahan secara kabinet yang dikenali sebagai Sistem Ahli diperkenalkan buat pertama kali di Persekutuan Tanah Melayu.

Sistem ini melibatkan pelantikan anggota yang dikenali sebagai Ahli. Pelantikan dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi British dengan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

Seramai enam Ahli Tidak Rasmi dilantik bagi menguruskan portfolio tertentu.

Antara tokoh yang terlibat merupakan Datuk Onn Jaafar bagi Hal Ehwal Dalam Negeri dan Dr Lee Tiang Keng bagi Kesihatan.

Turut dilantik ialah Datuk EEC Thuraisingam bagi Pelajaran dan Mr JD Mead bagi Kerja Raya serta Perumahan.

Selain itu, Datuk Mahmuh Mat mengendalikan Tanah dan Galian serta Pengangkutan.

Portfolio Pertanian dan Perhutanan pula diuruskan oleh Tengku Yaakub, Raja Muda Kedah.

1960: Parti Negara Sarawak (PANAS) Ditubuhkan

Kredit: Bernama

9 April 1960 menyaksikan penubuhan Parti Negara Sarawak (PANAS) secara rasmi.

Parti ini merupakan parti politik kedua di Sarawak selepas Sarawak United People's Party (SUPP). Keanggotaannya terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Iban, Bidayuh, Melanau dan Cina.

Kebanyakan pemimpin PANAS merupakan pegawai kerajaan berbangsa Melayu.

Mereka menyokong penyerahan Sarawak daripada pemerintahan keluarga Brooke kepada British pada tahun 1946.

Penubuhan parti ini bertujuan menghadapi pengaruh SUPP yang ketika itu mendapat sokongan besar di beberapa kawasan.

1963: Mesyuarat Tiga Negara Diadakan Bagi Menyelesaikan Sengketa

Kredit: Bernama

Satu mesyuarat penting melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina diadakan di Manila, Filipina pada 9 April 1963.

Mesyuarat tersebut bertujuan menyelesaikan salah faham berkaitan cadangan penubuhan Malaysia.

Pertemuan tersebut membawa kepada pembentukan Maphilindo, satu bentuk kerjasama antara tiga negara itu.

Dalam mesyuarat berkenaan, Persekutuan Tanah Melayu diwakili oleh Setiausaha Tetapi Kementerian Luar, Encik Muhammad Ghazali Shafie.

Indonesia pula diwakili oleh Timbalan Menteri Luar, Dr Suwito Kusumowidagdo manakala Filipina diwakili oleh Setiausaha Rendah Hal Ehwal Luar, Salvador Lopez.

Mesyuarat ini juga mencapai persetujuan untuk mengadakan sidang kemuncak di peringkat menteri.

1964: Jalan Raya Pantai Timur-Barat Dirasmikan

Kredit: Bernama

Pada 9 April 1964, Jalan Raya Pantai Timur-Barat dirasmikan oleh Tun Abdul Razak Hussein, Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Upacara perasmian diadakan di Mukim Tersat, Kuala Berang, Terengganu.

Jalan raya ini dibina sepanjang kira-kira 250 batu atau 400 kilometer. Kos pembinaannya dianggarkan sebanyak USD150 juta, bersamaan nilai RM598 juta ketika ini.

Laluan tersebut bermula dari Sungai Siput, Perak dan menuju ke Terengganu melalui Kelantan.

Pembinaan jalan raya ini menjadi simbol perpaduan dan kemajuan negara yang membuka peluang kepada penerokaan tanah pertanian seperti getah, padi dan kelapa sawit.

Selain itu, projek ini turut menyokong pembangunan seperti hidro elektrik dan penempatan baharu di kawasan luar bandar.

2002: Putrajaya Diluluskan Sebagai Kawasan Parlimen

Kredit: Bernama

Pada 9 April 2002, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul menjadikan Putrajaya sebagai kawasan Parlimen.

Usul tersebut dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Pengundian dilakukan melalui proses belah bahagian. Seramai 134 ahli Parlimen menyokong usul tersebut.

Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Tun Mohamed Zahir, memaklumkan bahawa semua ahli Parlimen yang hadir mengundi menyokong cadangan berkenaan.

Seramai 10 ahli Parlimen terlibat dalam sesi perbahasan berkaitan usul tersebut.

Sumber:ARKIB