Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ramai Tak Tahu, Ada Sebab Banyak Lori 'Parking Serentak' Di R&R
Kalau anda selalu memandu di lebuh raya pada awal pagi, pasti selalu nampak satu pemandangan yang sama.
Deretan lori, treler dan kontena memenuhi kawasan Rawat dan Rehat (R&R) atau kawasan rehat di tepi lebuh raya.
Ada yang enjin masih hidup, ada yang pemandunya sedang minum kopi, malah ada yang sekadar duduk berehat sambil menunggu masa.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapa hampir semua lori berhenti pada waktu yang sama? Adakah mereka sedang berehat, tidur atau sengaja menunggu sesuatu?
Rupa-rupanya, ramai rakyat Malaysia pun selama ini tertanya-tanya benda yang sama.
Baru-baru ini, seorang lelaki mencetuskan perbincangan di Threads apabila memuat naik gambar deretan lori yang berhenti di sebuah R&R.
Sambil berkongsi video, dia kemudian bertanya soalan yang mungkin pernah bermain dalam fikiran ramai.

"Nak tanya dekat driver lori atau kontena... kenapa seawal pagi, sekitar pukul 5 hingga 7 pagi, dekat R&R memang banyak lori berhenti? Waktu rehat ke atau macam mana?" katanya.
Siapa sangka, ruangan komen terus dipenuhi jawapan daripada netizen yang tahu sebab sebenarnya.
"Lori dilarang guna highway sampai pukul 9 pagi sebab waktu puncak. Bagi laluan pada kenderaan kecil yang nak pergi kerja."
"Sebab road ban. Lori tak boleh masuk lebuh raya dari 6.30 pagi sampai 9.30 pagi. Petang pun sama, dari 4.30 petang sampai 7.30 malam."
Dalam pada itu, ramai juga netizen yang sebenarnya baru sedar bahawa selama ini sangkaan mereka memang jauh tersasar.
Ada yang mengaku ingat pemandu lori sedang tidur selepas memandu semalaman. Ada juga yang menyangka mereka berhenti untuk menunaikan solat Subuh.
Untuk pengetahuan, larangan ini memang ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi membantu melancarkan aliran trafik ketika waktu puncak, terutama di sekitar Lembah Klang.
Ia melibatkan beberapa lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
Larangan ini dikenakan kepada kebanyakan lori, treler dan kenderaan berat, kecuali bas serta beberapa kenderaan tertentu seperti perkhidmatan kecemasan, kutipan sampah dan penyelenggaraan lebuh raya.
Waktu larangan pula ialah antara 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam.
Sebab itulah, kalau anda singgah di R&R pada waktu-waktu ini, memang besar kemungkinan akan nampak banyak lori sedang menunggu sebelum meneruskan perjalanan.