Request Nyanyi Lagu Birthday, Gaya Selamba Pemandu P-Hailing Buat Ramai Terhibur
Perkongsian @najihahsyazana di Threads menarik perhatian ramai selepas dia berkongsi video memaparkan seorang pemandu p-hailing menyanyikan lagu 'Selamat Hari Jadi' kepada anak buahnya.
Menerusi hantaran itu, @najihahsyazana berkongsi tangkap layar perbualannya bersama pemandu p-hailing tersebut di mana dia memberitahu bahawa anak buahnya bernama Affan menyambut hari lahirnya pada 10 Ogos.
Pemandu P-Hailing Nyanyi Lagu 'Happy Birthday' Buat Ramai Terhibur
Susulan itu, dia meminta bantuan dari pemandu p-hailing itu untuk menyanyikan lagu 'Selamat Hari Jadi' kepada Affan.
“Bang, nak request boleh? Harini birthday anak buah saya. Boleh record kan tak nyanyi lagu happy birthday?
“Pastu cakap KFC hadiah dari nenek dia. Nama dia Affan,” kata @najihahsyazana.
Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian ramai adalah bagaimana pemandu tersebut menyanyikan lagu 'Selamat Hari Jadi'.
Bagi kebanyakan orang, lagu ‘Selamat Hari Jadi’ biasanya dinyanyikan dengan suara yang ceria dan penuh semangat.
Namun, pemandu p-hailing tersebut memilih gaya nyanyian yang lebih bersahaja, malah nada suaranya yang tenang ketika menyampaikan lagu itu mencuit hati ramai warga maya.
Seorang pengguna, @littesc0rpio_ berkata nada suara pemandu p-hailing yang santai itu mencuit hati disamping turut memberi ucapan 'Selamat Hari Jadi' kepada Affan.
Dalam pada itu, riak wajah Affan turut menghiburkan warganet kerana pada awalnya dia agak terkejut namun tetap melemparkan senyuman kepada pemandu p-hailing tersebut sehingga dia habis menyanyikan lagu 'Selamat Hari Jadi'.
Setelah pemandu p-hailing tersebut selesai menyanyikan lagu tersebut, Affan sempat mengucapkan terima kasih kepadanya sebelum mengambil makanan yang dihantar.
Sementara itu, @najihahsyazana turut mengucapkan terima kasih kepada warga maya yang turut serta mengucapkan 'Selamat Hari Lahir' kepada Affan.
Menurut @najihahsyazana, anak buahnya itu berkongsi tarikh lahir yang sama dengan datuk dan neneknya, iaitu pada 10 Ogos namun hanya tahun yang berbeza.
“Korang terima kasih yang wish birthday Affan hehehe btw harini birthday Affan sama dengan arwah atok & nenek dia.
“Atok dia 10.8.1963, nenek 10.8.1965, Affan 10.8.2017. Arwah atok Affan meninggal tahun lepas 12/2/2025.
“Dah dua tahun sambut birthday tanpa arwah atok (abah saya). Al-Fatihah Mohammad Nooh bin Ismail,” tulisnya.

