Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pemandangan barisan motosikal yang memenuhi laluan menuju ke Terengganu sempena RXZ Members 8.0 sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila ribuan penunggang dilihat sanggup beratur panjang demi menghadiri himpunan tahunan terbesar peminat Yamaha RX-Z itu.
Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna @zulhafidzyahaya berkongsi kekagumannya melihat kesabaran para penunggang yang sanggup menempuh perjalanan jauh sebelum tiba di lokasi acara.
"Dahsyat RXZ Members. Memang tinggi kesabaran dan kental. Beratur panjang ni berapa jam la agaknya yer… Tabik," tulisnya.
Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya memuji semangat komuniti RXZ Members yang terkenal dengan sikap setia kawan serta disiplin ketika konvoi.
RXZ Members bukan sekadar himpunan motosikal
Untuk rekod, RXZ Members merupakan himpunan tahunan terbesar peminat motosikal Yamaha RX-Z di Malaysia yang berlangsung di Gong Badak, Terengganu.
Mengangkat slogan "Yang Santai Pasti Sampai", program itu menghimpunkan puluhan ribu pemilik dan peminat Yamaha RX-Z dari seluruh negara, malah ada yang datang dari Singapura, Brunei dan Thailand.
Selain menjadi platform mengeratkan ukhuwah dalam kalangan peminat motosikal legenda itu, acara berkenaan turut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan menerusi sektor pelancongan, makanan, penginapan dan peruncitan.
R&R jadi lokasi persinggahan wajib rider
Menjelang acara tahunan itu, beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sering menjadi lokasi persinggahan utama ribuan penunggang sebelum meneruskan perjalanan ke Terengganu.
Antara lokasi yang lazim dipenuhi rider ialah R&R Gambang di Pahang, selain R&R Paka dan R&R Perasing di Terengganu.
Kawasan-kawasan ini biasanya menjadi tempat peserta berehat, mengisi minyak, menikmati makanan, menunaikan solat serta berkumpul sebelum bergerak secara berkonvoi ke lokasi acara.
Setiap kali menjelang RXZ Members, suasana di R&R berkenaan sering bertukar meriah apabila dipenuhi deretan motosikal Yamaha RX-Z dengan pelbagai modifikasi, sekali gus menjadi perhatian pengguna lebuh raya lain.
Ramai netizen menyifatkan semangat yang ditunjukkan komuniti RXZ Members membuktikan minat terhadap motosikal klasik itu bukan sekadar hobi, malah menjadi medium mengeratkan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan