Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan MADANI Terus Perkasa Islam, Martabat Orang Melayu – PM Anwar

ISLAM
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

Kerajaan MADANI Terus Perkasa Islam, Martabat Orang Melayu – PM Anwar

Perjuangan membela Islam dan mengangkat martabat orang Melayu tidak seharusnya diukur melalui retorik politik atau laungan semata-mata, sebaliknya perlu dibuktikan menerusi dasar serta tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu menjadi prinsip yang dipegang Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun dalam memperkukuh syiar Islam tanpa menafikan hak kaum lain.

"Memperjuangkan Islam dan membela orang Melayu tidak seharusnya diukur melalui jeritan yang paling lantang atau janji yang paling manis, tetapi melalui pelaksanaan kata-kata dan bukti yang nyata," katanya menerusi hantaran di media sosial malam tadi.

Terdahulu, Anwar menghadiri program zikir dan munajat bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Linggi.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI kekal berpegang kepada prinsip memperkasakan institusi Islam serta memperkukuh kedudukan orang Melayu tanpa mengabaikan hak masyarakat pelbagai kaum.

Anwar berkata, pendekatan itu turut menjadi pegangan Pakatan Harapan (PH) sepanjang diberikan mandat mentadbir negeri dan negara, termasuk dalam usaha memulihkan institusi Melayu yang menurutnya terjejas akibat pengkhianatan amanah oleh pihak tertentu.

Beliau berkata, antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah menambah keluasan tanah rizab Melayu di tengah ibu negara, mengembalikan peruntukan kepada sekolah agama rakyat yang dihentikan sejak 2003, meningkatkan kemahiran lepasan sekolah agama serta menaik taraf sekolah pondok di seluruh negara.

"Itulah prinsip HARAPAN sepanjang diberi mandat memimpin negeri dan negara, tatkala kita memulihkan institusi orang Melayu yang telah dirosakkan oleh mereka yang mengkhianati amanah, menambah tanah rizab Melayu di tengah-tengah ibu negara, mengembalikan peruntukan kepada sekolah agama rakyat yang dihentikan sejak 2003, meningkatkan kemahiran lepasan sekolah agama, serta memperbaiki sekolah-sekolah pondok seluruh negara," katanya.

Beliau menegaskan, PH akan terus mengamalkan kepimpinan yang bersih dan berintegriti dalam usaha mengangkat martabat Islam, memperkasa orang Melayu serta memastikan kebajikan seluruh rakyat terus dipelihara.

"Insya-Allah HARAPAN akan meneruskan kepimpinan yang bersih dan amanah demi mengangkat martabat Islam, memperkasa orang Melayu, serta memastikan kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama terus terbela serta menikmati kemakmuran secara adil," katanya.

Intipati
  • Anwar berkata perjuangan Islam dan Melayu perlu dibuktikan melalui dasar serta tindakan nyata.
  • Kerajaan MADANI berpegang pada usaha memperkasa institusi Islam tanpa menafikan hak kaum lain.
  • Inisiatif disebut termasuk tanah rizab Melayu, sekolah agama rakyat dan naik taraf sekolah pondok.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan