Satu lagi rekod baharu berjaya dicatat dalam perlumbaan 100 meter robot humanoid apabila sebuah robot dari China merekodkan masa 8.66 saat pada Sukan Robot Humanoid Dunia di Beijing semalam.
Catatan itu sekali gus mengatasi rekod legenda pecut Jamaica, Usain Bolt, dan memperlihatkan perkembangan teknologi robotik yang semakin pantas.
Robot China pecah rekod Usain Bolt sekali lagi
Menerusi perkongsian The Humanoid Hub di aplikasi X hari ini, bukan catatan masa sahaja yang mencuri perhatian.
Aksi robot berkenaan ketika menamatkan perlumbaan turut mengundang ketawa apabila ia gagal memperlahankan pergerakan sebelum akhirnya merempuh tilam yang disediakan di hujung trek.
Situasi tersebut mencetuskan pelbagai reaksi lucu apabila ada yang berseloroh bahawa robot yang tidak mampu berhenti secara terkawal dalam jarak 50 meter selepas garisan penamat sepatutnya terus dibatalkan kelayakan.
Walaupun kelihatan mencuit hati, insiden itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa kelajuan bukan satu-satunya cabaran dalam pembangunan robot humanoid.
Keupayaan mengawal pergerakan, memperlahankan langkah dan berhenti dengan selamat juga penting bagi memastikan robot dapat beroperasi dengan baik.
Catatan sebelum adalah 9.39 saat
Sebelum ini, robot humanoid turut mencuri perhatian dunia selepas berjaya memecahkan rekod larian 100 meter milik legenda pecut Jamaica, Usain Bolt, pada Sukan Robot Humanoid Dunia di Beijing, China, baru-baru ini.
Dalam perlumbaan tersebut, robot berkenaan berjaya menamatkan larian 100 meter dalam masa 9.39 saat, sekali gus mengatasi rekod 9.58 saat yang dicatat Usain Bolt pada 2009.
Robot berkenaan difahamkan dibangunkan oleh syarikat X-Humanoid yang berpangkalan di Beijing.
Pencapaian terbaharu itu sekali lagi menunjukkan betapa pantasnya teknologi robot humanoid berkembang, bukan sahaja dari segi kelajuan tetapi juga keupayaan melakukan pergerakan yang semakin kompleks.
Lebih 2,000 robot sertai pertandingan
Peningkatan pesat keupayaan robot berkenaan turut menjadi antara tarikan utama pada edisi kedua temasya tersebut.
Lebih 2,000 robot daripada 666 pasukan dilaporkan mengambil bahagian dalam 51 acara, termasuk pertandingan bola sepak, tarian serta tugasan berkaitan industri.
Pada edisi sulung tahun lalu, Tiangong muncul juara acara 100 meter dengan catatan 21.50 saat, jauh lebih perlahan berbanding rekod terbaharunya.
Beberapa bulan kemudian, robot berkenaan turut mencatat kemenangan dalam separuh maraton robot humanoid pertama di dunia yang berlangsung di Beijing dengan masa dua jam 40 minit.
Menurut Pusat Inovasi Robot Humanoid Beijing, robot Tiangong kini telah memecahkan empat rekod dunia manusia.
Selain catatan terbaharu dalam acara 100 meter, robot itu turut merekodkan masa 38.15 saat bagi 400 meter dan 2 minit 21.64 saat bagi 1,500 meter, selain mencatat lompatan setinggi 2.88 meter.
Perkembangan tersebut selari dengan usaha China menjadikan robot humanoid sebagai salah satu industri baharu yang strategik.
Syarikat dan pembuat dasar di negara itu kini giat menterjemahkan kemajuan dalam kecerdasan buatan, motor serta teknologi sensor kepada aplikasi sebenar dalam sektor pembuatan, logistik dan perkhidmatan.

