Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ronaldo & Georgina Akhirnya Sah Bergelar Suami Isteri

Ronaldo & Georgina
Kredit: AFP

Ronaldo & Georgina Akhirnya Sah Bergelar Suami Isteri

Cristiano Ronaldo dan pasangan, Georgina Rodriguez, secara rasmi melangsungkan perkahwinan pada Selasa dalam satu majlis di pusat peranginan Cascais, Portugal, menurut wakil bintang bola sepak itu.

Memetik AFP, perkahwinan tersebut menandakan kemuncak hubungan mereka yang sudah terjalin selama sedekad dan berlangsung selepas beberapa hari spekulasi hangat media di Portugal mengenai lokasi serta tarikh majlis berkenaan.

Ronaldo, 41, berkongsi sekeping gambar tangan mereka yang memakai cincin perkahwinan dengan kapsyen “C (hati) G” menerusi akaun Instagram miliknya.

Menurut Brunswick Group yang mengendalikan urusan perhubungan awam pemain berkenaan kepada AFP, lima anak pasangan itu turut menghadiri majlis yang disifatkan sebagai 'peribadi dan intim'.

Kredit: AFP

Pasangan itu sah bergelar suami isteri tepat setahun selepas Rodriguez, 32, yang juga seorang pempengaruh, mengumumkan pertunangan mereka di Instagram.

Ronaldo, yang beraksi bersama Portugal pada Piala Dunia musim panas lalu sebelum pasukan itu tersingkir pada pusingan 16 terbaik, kini bermain untuk kelab Arab Saudi, Al Nassr.

Bekas penyerang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu telah memenangi anugerah Ballon d'Or sebagai pemain terbaik dunia sebanyak lima kali.

Rodriguez pula semakin dikenali selepas membintangi rancangan Netflix berjudul “I am Georgina”, yang memaparkan kehidupan keluarganya merangkumi dunia bola sepak, fesyen dan pengembaraan.

Media Portugal sebelum ini membuat spekulasi bahawa majlis perkahwinan tersebut mungkin berlangsung di Sintra, di luar Lisbon, atau di Funchal di Pulau Madeira, tempat kelahiran Ronaldo.

Laporan yang mendakwa majlis berkenaan akan berlangsung di Funchal pada hujung minggu lalu menyebabkan ratusan orang berkumpul di katedral bandar itu dengan harapan dapat melihat pasangan tersebut.

Pihak katedral sebelum ini memaklumkan kepada AFP bahawa tiada majlis perkahwinan Ronaldo dijadualkan berlangsung di situ, namun berkata mereka berbesar hati sekiranya diberi peluang menjadi lokasi acara tersebut.

Pasangan itu akhirnya memilih Cascais, sebuah pusat peranginan eksklusif di tepi laut kira-kira 30 kilometer di barat Lisbon, di mana mereka memiliki sebuah vila.

Ronaldo dan Rodriguez bertemu pada 2016 ketika Rodriguez bekerja di sebuah butik Gucci di Madrid, dengan Rodriguez menyifatkan pertemuan itu sebagai cinta pandang pertama.

Dalam temu bual bersama Vogue Arabia pada 2025, Rodriguez berkata dia hampir serta-merta merasakan ketenangan dan tenaga yang sukar dijelaskan apabila bersama Ronaldo.

“Seolah-olah kami sudah mengenali satu sama lain sejak sekian lama," katanya.

Bersama-sama, mereka mempunyai lebih 750 juta pengikut di pelbagai platform media sosial dan membina salah satu hubungan selebriti paling dikenali di dunia, yang pengaruhnya melangkaui dunia bola sepak.

Pasangan itu turut mempunyai portfolio pelaburan yang merangkumi jenama fesyen dan rangkaian hotel.

Intipati
  • Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodriguez rasmi berkahwin di Cascais, Portugal, pada Selasa.
  • Majlis peribadi dan intim itu turut dihadiri lima anak pasangan berkenaan.
  • Pasangan itu bertemu pada 2016 ketika Rodriguez bekerja di butik Gucci Madrid.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan