Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ronaldo Sifatkan Kejayaan Euro 2016 Setaraf Menang Piala Dunia

Ronaldo
Kredit: AFP

Ronaldo Sifatkan Kejayaan Euro 2016 Setaraf Menang Piala Dunia

"Bagi saya, gelaran Euro 2016 berada pada tahap yang sama seperti Piala Dunia,"

Itulah kenyataan yang dilontarkan oleh Cristiano Ronaldo selepas impian Portugal untuk melangkah lebih jauh dalam Piala Dunia berakhir apabila tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam aksi pusingan 16 terbaik, awal pagi tadi.

Ronaldo mengakui meskipun gagal mara ke pusingan seterusnya, dia masih berbangga membawa negaranya sejauh ini. Apatah lagi, dia bermula sejak Portugal tidak mempunyai sebarang gelaran dan trofi.

"Saya telah memberikan segala-galanya. Saya memenangi tiga kejuaraan bersama Portugal.

"Sebelum kehadiran saya, Portugal tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan," katanya.

Sepanjang karier antarabangsanya, Ronaldo membantu Portugal menjuarai UEFA European Championship 2016 serta dua gelaran UEFA Nations League, namun gagal merealisasikan impian menjulang trofi Piala Dunia.

Piala Dunia Terakhir

Dalam pada itu, pemain berusia 41 tahun itu turut mengesahkan edisi kali ini adalah penampilan terakhirnya, namun beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan terus menyarung jersi Portugal pada masa akan datang ataupun tidak.

"Saya sedih meninggalkan Piala Dunia dengan cara ini. Saya telah memberikan segala-galanya dan saya meninggalkan kejohanan ini dengan hati yang tenang.

"Ya, ini adalah Piala Dunia terakhir saya. Mengenai perkara lain, masih ada masa untuk berfikir, bersama keluarga dan tidak membuat keputusan ketika emosi masih memuncak," katanya.

Gol tunggal Mikel Merino pada minit pertama masa kecederaan babak kedua memastikan Sepanyol mara ke suku akhir, sekali gus menamatkan kempen Portugal.

Selepas wisel penamat dibunyikan, Ronaldo dilihat mengesat air mata sebelum memberikan tepukan penghargaan kepada penyokong di Stadium AT&T.

Untuk makluman, Ronaldo membuat 27 penampilan di Piala Dunia, kedua terbanyak dalam sejarah selepas Lionel Messi yang mencatat 30 penampilan.

Ronaldo menamatkan saingan Piala Dunia dengan 11 gol, sekali gus berkongsi kedudukan kesembilan dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang sejarah kejohanan.

Martinez sah tinggalkan Portugal

Sementara itu, Ketua Jurulatih Portugal Roberto Martinez mengesahkan beliau akan meninggalkan jawatan sebagai ketua jurulatih Portugal selepas pasukan itu tersingkir daripada Piala Dunia FIFA susulan kekalahan 0-1 kepada Sepanyol dalam aksi pusingan 16 terbaik, namun menegaskan keputusan itu bukan satu kegagalan.

Martinez yang dilantik membimbing Portugal pada 2023, sepatutnya menamatkan kontraknya selepas kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui keputusan untuk meneruskan tugas itu tidak lagi sesuai selepas kegagalan mara lebih jauh dalam dua kejohanan utama.

"Ya, ini adalah perlawanan terakhir saya bersama pasukan kebangsaan. Saya bangga. Saya telah mengendalikan 45 perlawanan dan saya berasa diterima serta disayangi di Portugal.

"Ia satu penghormatan, kebanggaan dan tanggungjawab. Ia sukar, tetapi ini adalah penghujung satu kitaran dan dalam konteks ini, keputusan ini sangat masuk akal," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Sebelum mengendalikan Portugal, Martinez pernah membimbing Belgium serta beberapa kelab England termasuk Everton dan Wigan Athletic.

Portugal hadir ke Piala Dunia dengan barisan pemain berbakat termasuk gandingan tengah Vitinha, João Neves dan Bruno Fernandes, selain Ronaldo di bahagian serangan.

Namun, Martinez menolak tanggapan bahawa penyingkiran di pusingan 16 terbaik adalah satu kegagalan buat pasukannya.

"Kami tidak gagal. Kami kalah satu perlawanan menentang pasukan yang merupakan antara pilihan utama kejohanan.

"Kami menunjukkan bakat individu yang luar biasa. Dalam perlawanan besar, perbezaan antara menang dan kalah ditentukan oleh perkara kecil.

"Anda gagal apabila tidak cuba menang, tetapi kami berusaha sehingga minit terakhir," katanya.

Beliau turut menyifatkan usaha untuk mengekalkan konsistensi dalam kejohanan seperti Piala Dunia bukan sesuatu yang mudah.

"Ia bukan hanya Portugal. Tidak banyak negara yang mampu secara konsisten mara ke peringkat akhir Piala Dunia. Sangat sukar untuk sentiasa konsisten dan layak.

Dalam masa sama, Martinez mempertahankan keputusannya mengekalkan Ronaldo beraksi sepanjang 90 minit walaupun Portugal memerlukan jaringan.

"Apabila pasukan memerlukan gol, anda tidak boleh mengeluarkan Cristiano Ronaldo. Dia boleh bermain selama 90 minit tanpa masalah.

"Kehadirannya memberi ancaman, membuka ruang dan berbahaya dalam situasi bola mati serta di dalam kotak penalti. Tidak masuk akal untuk menggantikannya.

"Jika perlawanan berlanjutan ke masa tambahan, mungkin ketika itu sesuai untuk menggunakan Gonçalo Ramos.

"Tetapi kami perlu mengekalkan struktur pasukan dan bukan mengeluarkan penjaring terbanyak dalam tempoh 90 minit," katanya.

Sumber:ESPN,ESPN