RTM Perkenal Kamera VR Di Sambutan Hari Kebangsaan, Ini Cara Tonton Dari Rumah
Pejam celik, negara kita sudah 68 tahun mencapai kemerdekaan dan kebebasan yang dikecapi oleh kita semua seharusnya perlu dihargai dan dijaga dengan sebaiknya.
Ketika ini, orang ramai semestinya sudah bersemangat untuk menyambut Hari Kebangsaan yang berlangsung di seluruh negara. Bagaimanapun, tumpuan pastinya terarah ke Putrajaya yang bakal menyaksikan sambutan rasmi negara.
Setiap tahun, orang ramai akan memenuhi tempat duduk seawal jam 9 malam pada 30 Ogos agar dapat melihat perarakan dan persembahan dengan lebih dekat.
Begitu juga dengan tahun ini, bahkan, beberapa hari lalu juga menyaksikan pengunjung memenuhi tempat duduk seawal 6 pagi untuk menyaksikan raptai. Bayangkan sambutan sebenar esok?
Pun begitu, tidak semua orang akan dapat hadir kerana atas sebab-sebab tertentu dan mungkin ada juga yang tidak suka keramaian, tidak mahu bersesak dengan orang ramai.
Jika anda tidak berpeluang ke sana, jangan risau kerana anda boleh menontonnya dari rumah. Lebih menarik, anda dapat merasai pengalaman seperti penonton yang berada di Putrajaya.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi video di TikTok memaklumkan bahawa pihaknya telah menyediakan kamera virtual reality 360 darjah. Ia membolehkan orang ramai untuk melihat sambutan tersebut dengan sangat terperinci hanya melalui skrin telefon atau laptop.
“Untuk sambutan kali ini, kamera virtual reality, VR360, diperkenalkan untuk anda merasai pengalaman baharu.
“360 darjah, setiap sudut ada,” katanya.
Anda hanya perlu memuat turun aplikasi RTMKlik dan tunggu siaran langsung sambutan tersebut pada pagi esok.
“Dengan mengikuti RTMKlik, anda boleh merasai pengalaman berada di Putrajaya sempena Hari Kebangsaan walaupun di mana sahaja anda berada,” kata RTM lagi.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-68!
Sumber: RTM