Ruang Udara Iran 'Kosong' Selepas Serangan AS, Israel
Iran memaklumkan telah menutup ruang udaranya sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, susulan beberapa siri letupan di ibu negara, Tehran dan kawasan lain, menurut agensi penerbangan awam, lapor AFP.
“Ruang udara di seluruh negara ditutup sehingga makluman lanjut,” umum jurucakap Pertubuhan Penerbangan Awam Iran, yang dipetik oleh agensi berita Tasnim.
Menerusi video klip yang dikongsikan portal TRTWorld, memaparkan ruang udara Iran kelihatan 'kosong' selepas serangan berkenaan.
Malah, kebanyakan pesawat komersial melencongkan laluan dengan pantas sebagai tindak balas kepada situasi yang sedang berlaku.
Sebelum ini, Kementerian pertahanan Israel mengumumkan 'serangan awal' terhadap Iran pada Sabtu ketika siren berbunyi di Baitulmaqdis dan orang ramai di seluruh negara menerima amaran telefon tentang ancaman yang sangat serius.
“Israel telah melancarkan serangan awal terhadap Iran. Menteri Pertahanan Israel Katz telah mengisytiharkan darurat khas dan segera di seluruh negara,” menurut kenyataan daripada kementeriannya.
Sementara sekutunya, Amerika Syarikat juga melancarkan serangan ke atas Iran, selepas Israel berkata ia telah menyerang musuh serantaunya yang telah lama wujud.
Beberapa saluran media AS, memetik pegawai Amerika, melaporkan bahawa Washington telah memulakan serangan ke atas Iran dalam operasi bersama dengan Israel.
Iran Balas Serangan
Bagaimanapun, Iran dilaporkan melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan negara itu bersama Amerika Syarikat, menurut kenyataan rasmi dari tentera Israel lapor BBC.
“Siren telah dibunyikan di beberapa kawasan di seluruh negara susulan pengenalan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran ke arah Negara Israel,” maklum Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan.
