Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Rusia dilaporkan merancang untuk menarik diri dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan menamatkan perkongsiannya selama beberapa dekad dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) di pos orbit.
Memetik laporan CNN, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Agensi Angkasa Lepas Rusia, Roscosmos Yury Borisov yang baru saja dilantik.
“Keputusan untuk meninggalkan stesen ini selepas tahun 2024 telah dibuat.
“Anda tahu bahawa kami bekerja dalam rangka kerjasama antarabangsa di Stesen Angkasa Antarabangsa.
“Tidak dinafikan, kami akan memenuhi semua kewajiban kami kepada rakan kongsi, tetapi keputusan untuk meninggalkan stesen selepas 2024 telah dibuat,” kata Borisov kepada Putin.
Sementara itu, NASA memaklumkan pada Februari lalu bahawa ia berhasrat untuk terus mengendalikan ISS sehingga penghujung tahun 2030. Selepas itu ISS akan dinyahorbit dan terhempas ke bahagian terpencil di Lautan Pasifik.
Selepas itu, platform angkasa lepas yang dikendalikan secara komersial akan menggantikan ISS sebagai tempat untuk kerjasama dan penyelidikan saintifik.
Bagaimanapun, Pengarah ISS untuk NASA, Robyn Gatens berkata bahawa NASA belum menerima sebarang kata rasmi daripada Rusia mengenai keputusan untuk keluar dari ISS.
“Sama seperti kita, Rusia memikirkan mengenai apa yang akan berlaku kepada mereka pada masa akan datang.
“Ketika kita merancang mengenai peralihan stesen angkasa lepas kendalian secara komersial di orbit bumi rendah selepas 2030, mereka mempunyai rancangan yang sama.
“Oleh itu mereka juga memikirkan peralihan itu. Kami masih belum menerima sebarang kata rasmi daripada rakan kongsi mengenai berita hari ini, jadi kami akan bercakap lebih lanjut mengenai rancangan mereka pada masa hadapan,” kata Gatens.
Ini bukan kali pertama Rusia mengancam untuk meninggalkan ISS ketika berlakunya sekatan dari AS dan Eropah akibat perang di Ukraine.
Bekas ketua agkasa lepas rusia, Dmitry Rogozin berulang kali mengancam untuk berbuat demikian sebelum digulingkan awal bulan ini.
Sumber: CNN