Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sekurang-kurangnya 26 individu maut, termasuk tujuh pegawai penjara, manakala lebih 100 lagi cedera dalam rusuhan yang tercetus di Penjara Negombo, barat Sri Lanka, lapor BBC.
Rusuhan yang berlarutan selama dua hari itu bermula selepas tercetus pergaduhan antara dua kumpulan banduan di penjara yang terletak di bandar pesisir pantai di utara Colombo.
Menurut laporan, beberapa banduan dipercayai merampas senjata api milik pengawal penjara pada Ahad, menyebabkan dua kematian dan puluhan lagi cedera.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila sekumpulan banduan lelaki bersama beberapa banduan wanita dari blok bersebelahan memanjat bumbung penjara sambil menuntut supaya mereka dibebaskan.
Pada Isnin, keganasan kembali memuncak apabila banduan cuba merempuh pintu utama penjara sebelum pasukan keselamatan dikerahkan ke lokasi. Beberapa das tembakan turut kedengaran dari dalam kawasan penjara ketika operasi mengawal keadaan dijalankan.
Menurut pihak berkuasa, rusuhan dipercayai berpunca daripada pertelingkahan susulan tindakan seorang banduan yang didakwa menjadi pemberi maklumat mengenai kegiatan penyeludupan dadah di dalam penjara.
Jurucakap media Jabatan Penjara, AC Gajanayake berkata, sehingga kini seramai 23 pegawai penjara dan 54 banduan masih menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Negombo dan Hospital Nasional Colombo untuk mendapatkan rawatan. Pengarah Hospital Negombo memaklumkan sebahagian mangsa mengalami kecederaan akibat tembakan, manakala selebihnya mengalami luka serta lebam serius.
Dalam pada itu, polis memaklumkan sebahagian bumbung penjara runtuh ketika kejadian, sekali gus menyebabkan beberapa banduan wanita turut cedera.
Ketika rusuhan berlaku, ahli keluarga banduan dilihat berkumpul di luar penjara bagi mendapatkan maklumat mengenai nasib ahli keluarga masing-masing. Ada yang mendakwa masih belum dimaklumkan sama ada saudara mereka terselamat atau menjadi antara mangsa yang maut.
Menurut sumber, operasi membersihkan kawasan penjara masih diteruskan, manakala pihak tentera berada dalam keadaan bersiap siaga selepas menerima permintaan bantuan daripada polis.
Sementara itu, Gajanayake berkata pihak berkuasa telah mengambil langkah memindahkan sebahagian banduan ke penjara lain bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.
Menteri Kehakiman dan Penjara Sri Lanka, Harshana Nanayakkara pula mengarahkan siasatan segera dijalankan berhubung insiden berkenaan serta meminta satu laporan lengkap dikemukakan.
Walaupun rusuhan penjara bukan perkara luar biasa di Sri Lanka yang berdepan masalah kesesakan banduan, kejadian kali ini disifatkan antara yang paling buruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut AFP, sehingga Ahad lalu, sistem penjara negara itu menempatkan kira-kira 41,250 banduan, iaitu hampir empat kali ganda daripada kapasiti sebenar.