Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Saintis Dedah 10 Serangga Paling Bijak Di Dunia

SERANGGA
Lebah madu. Kredit: Forest Digest

Saintis Dedah 10 Serangga Paling Bijak Di Dunia

Ramai menganggap serangga hanyalah makhluk kecil yang hidup berasaskan naluri semata-mata.

Namun, pelbagai kajian saintifik sejak beberapa tahun kebelakangan ini mendedahkan hakikat yang jauh lebih mengagumkan, ada serangga yang mampu membuat keputusan, mengingati laluan, berkomunikasi malah menyelesaikan masalah seperti haiwan yang mempunyai otak lebih besar.

Malah, penyelidik mendapati sesetengah spesies bukan sahaja mampu "berfikir", malah membina masyarakat yang tersusun, mengusahakan pertanian sendiri dan menggunakan strategi kompleks untuk terus hidup.

Berikut antara serangga yang sering dianggap paling pintar berdasarkan kajian saintifik.

1. Lebah madu – Boleh mengira dan membuat keputusan

Lebah madu sering menjadi contoh utama apabila membincangkan kecerdasan serangga.

Kajian menunjukkan lebah mampu melakukan operasi matematik asas, sesuatu yang sebelum ini dipercayai hanya boleh dilakukan oleh haiwan dengan otak yang jauh lebih besar.

Bukan itu sahaja, lebah juga boleh mengenali wajah, mengingati lokasi bunga terbaik, merancang laluan paling efisien untuk mengumpul nektar serta berkomunikasi dengan koloni melalui "tarian" yang memberi petunjuk arah dan jarak sumber makanan.

Penyelidik turut mendapati lebah mampu membuat pertimbangan antara ganjaran dan risiko, selain mempunyai memori yang baik serta tahap kesedaran diri yang asas.

2. Semut – Petani kecil yang membina ladang bawah tanah

Jika lebah terkenal dengan kepintaran mengumpul makanan, semut pula menonjol kerana kemahiran menguruskan koloni yang luar biasa.

Beberapa spesies semut di benua Amerika didapati mengusahakan ladang kulat di bawah tanah sejak berjuta-juta tahun dahulu.

Semut pemotong daun akan mengumpulkan tumbuhan untuk dijadikan medium pembiakan kulat sebelum menggunakannya sebagai sumber makanan utama koloni.

Selain itu, terdapat juga spesies yang menternak afid (aphid) seperti manusia menternak haiwan. Semut akan melindungi serangga kecil itu daripada cuaca buruk dan pemangsa semata-mata untuk mendapatkan cecair manis yang dihasilkannya.

Kajian turut menunjukkan semut mempunyai memori yang baik, cepat mempelajari tugasan baharu serta mampu mengenal pasti ahli koloninya.

3. Lipas – Bijak menyesuaikan diri

Walaupun sering dianggap sebagai perosak, lipas sebenarnya antara serangga paling mudah menyesuaikan diri.

Penyelidikan mendapati lipas mampu mengaitkan bau tertentu dengan pengalaman positif atau negatif, sekali gus mengubah tingkah lakunya berdasarkan pengalaman tersebut.

Malah, sesetengah spesies menunjukkan sifat berbeza antara satu sama lain, seperti lebih berani atau lebih berhati-hati ketika meneroka kawasan baharu.

Lipas juga dipercayai mampu merancang laluan melarikan diri lebih awal apabila berdepan ancaman.

Tebuan kertas. Kredit: Reddit

4. Tebuan kertas – Kenal wajah dan faham hierarki

Tebuan kertas memiliki kebolehan yang jarang ditemui dalam dunia serangga iaitu mengenali wajah individu lain.

Kemahiran ini penting kerana satu sarangnya boleh mempunyai beberapa ekor ratu yang perlu menentukan hierarki masing-masing.

Kajian turut mendapati tebuan ini mempunyai keupayaan membuat kesimpulan logik berdasarkan maklumat sedia ada atau dikenali sebagai transitive inference, iaitu kebolehan yang turut dikaitkan dengan haiwan lebih kompleks.

5. Anai-anai – Jurutera alam semula jadi

Anai-anai terkenal kerana kebolehan membina struktur sarang yang kompleks.

Serangga ini bukan sahaja membina busut yang kukuh, malah mampu mengawal suhu dan kelembapan di dalamnya supaya sesuai untuk keseluruhan koloni.

Penyelidik juga mendapati anai-anai mampu mengubah keadaan tanah di sekeliling mereka bagi memastikan pembinaan sarang berjalan dengan lebih baik.

6. Pepatung – Pemburu paling berjaya

Pepatung dianggap antara pemangsa paling berjaya dalam dunia haiwan.

Rahsianya terletak pada keupayaan menapis maklumat yang tidak penting ketika memburu sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada sasaran.

Kemahiran ini dikenali sebagai selective attention, iaitu kebolehan yang selama ini sering dikaitkan dengan mamalia dan primat.

Rama-rama Monarch. Kredit: MyRokan

7. Rama-rama Monarch – Pengembara ribuan kilometer

Rama-rama Monarch melakukan penghijrahan paling jauh dalam kalangan serangga.

Setiap tahun, jutaan rama-rama ini terbang lebih 4,800 kilometer dari Kanada menuju ke Mexico dan California.

Sehingga kini, saintis masih mengkaji bagaimana serangga kecil ini mampu mencari arah dengan begitu tepat merentasi benua.

8. Kumbang tahi – Berpandukan bintang

Kumbang tahi mempunyai cara navigasi yang luar biasa.

Kajian mendapati serangga ini menggunakan cahaya daripada Bima Sakti (Milky Way) sebagai panduan ketika menggolekkan bebola tahi ke destinasi yang diinginkan.

Keupayaan itu menjadikan kumbang tahi antara haiwan pertama yang diketahui menggunakan galaksi sebagai sistem navigasi semula jadi.

9. Tebuan Tarantula Hawk – Strategi pembiakan unik

Tebuan Tarantula Hawk menggunakan strategi yang sangat terancang untuk memastikan anaknya mempunyai bekalan makanan.

Ia akan melumpuhkan seekor labah-labah tarantula sebelum meletakkan telur pada badan mangsa tersebut.

Apabila menetas, larva memperoleh sumber makanan yang mencukupi tanpa perlu diburu oleh induknya.

10. Mentadak – Belajar daripada pengalaman

Mentadak turut menunjukkan ciri kecerdasan apabila sering kembali ke lokasi yang pernah memberikan hasil buruan terbaik.

Beberapa kajian juga mendapati mentadak jantan mampu membuat pemilihan pasangan berdasarkan ciri tertentu yang dipercayai memberi kelebihan kepada kelangsungan hidup.

Kecerdasan Tidak Semestinya Bergantung Pada Saiz Otak

Penemuan mengenai kecerdasan serangga mengubah tanggapan bahawa otak besar adalah syarat utama untuk berfikir atau menyelesaikan masalah.

Walaupun mempunyai sistem saraf yang jauh lebih ringkas berbanding mamalia, beberapa spesies serangga membuktikan mereka mampu belajar daripada pengalaman, berkomunikasi, merancang, mengingati maklumat dan bekerjasama dalam kumpulan.

Saintis percaya jutaan lagi spesies serangga yang masih belum dikaji mungkin menyimpan pelbagai kebolehan luar biasa yang belum pernah diketahui manusia, sekali gus membuka lebih banyak persoalan tentang bagaimana kecerdasan sebenarnya berkembang dalam alam semula jadi.

Intipati
  • Lebah madu dilaporkan mampu mengira, mengenali wajah dan berkomunikasi melalui tarian koloni.
  • Semut, anai-anai dan tebuan menunjukkan organisasi sosial, pembinaan sarang serta hierarki kompleks.
  • Pepatung, rama-rama Monarch dan kumbang tahi memiliki kebolehan memburu atau navigasi luar biasa.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan