Seorang pelajar Malaysia, Sarah Jasmin, mengharumkan nama negara apabila mewakili Malaysia pada Forum Kanak-Kanak ASEAN ke-9 Tahun 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 6 Ogos lalu.
Menurut SM Sains Teluk Intan (SeMesTi) dalam satu perkongsian di Facebook hari ini, Sarah yang merupakan Tokoh Kanak-Kanak Kebangsaan membawa suara serta pandangan kanak-kanak Malaysia ke pentas ASEAN menerusi penyertaannya dalam ASEAN Children’s Forum 2026.
“Tiada yang mustahil. Kami amat berbangga dengan Sarah Jasmin kerana mewakili Malaysia di Forum Kanak-kanak ASEAN ke-9 Tahun 2026,” katanya.

Sekolah itu berkata, Sarah berjaya menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh keberanian apabila berbicara di hadapan wakil dari negara-negara ASEAN, selain mendengar pandangan peserta lain dengan penuh empati.
Menurutnya, forum berkenaan menjadi platform kepada wakil kanak-kanak dari negara ASEAN untuk membincangkan pelbagai isu penting termasuk keselamatan, pendidikan, kesejahteraan dan perlindungan kanak-kanak.
Ia turut memberi perhatian terhadap cabaran yang dihadapi golongan kanak-kanak dalam dunia digital.
“Sarah membawa tanggungjawab menyampaikan suara dan pandangan seluruh kanak-kanak Malaysia di hadapan wakil negara ASEAN yang lain,” ujarnya.
SeMesTi berkata, peluang menyertai forum berkenaan merupakan satu tanggungjawab besar serta pengalaman bermakna yang pastinya akan terpahat dalam ingatan Sarah.
Katanya, usaha dan penglibatan Sarah diharap mampu memberi impak positif kepada kanak-kanak di seluruh ASEAN, khususnya di Malaysia.
“Mudah-mudahan usaha Sarah memberi impak positif kepada seluruh kanak-kanak ASEAN umumnya dan Malaysia khususnya.
“Tahniah Sarah Jasmin. Terus terbang tinggi, tetapi sentiasa merendah diri,” jelasnya.
SeMesTi turut menyatakan rasa bangga atas pencapaian Sarah yang berjaya membawa nama Malaysia serta menyuarakan pandangan kanak-kanak negara ini di pentas serantau.

