Tular sebuah video memaparkan beberapa pekerja wanita di sebuah stesen minyak di Pesanggaran, Denpasar, cuba meluahkan rasa penat kepada Gabenor Bali, Wayan Koster.
Ini selepas mereka diminta bekerja lebih lama susulan arahan supaya stesen minyak beroperasi 24 jam akibat krisis bekalan bahan api.
Menerusi video tersebut, kelihatan tiga pekerja wanita menghampiri Wayan untuk menyuarakan rasa penat selepas terpaksa bekerja dalam tempoh yang panjang.
“Saya bukan robot, saya pun penat,” luah salah seorang pekerja wanita berkenaan.
Namun, luahan mereka didakwa tidak diendahkan apabila gabenor tersebut dilihat meminta mereka supaya diam.
Gabenor Bali Didakwa Arah Pekerja Stesen Minyak Dihalau
Situasi itu menyebabkan pekerja wanita berkenaan semakin lantang bersuara sambil meminta Wayan memahami keadaan mereka yang terpaksa bekerja dari pagi hingga tengah malam.
Pekerja itu turut memberitahu bahawa dia masih belum berpeluang duduk sejak pagi, selain tidak mendapat masa rehat sepanjang menjalankan tugasnya.
“Cuba tuan berada di sini, di lapangan, bagaimana rasanya! Tuan tak rasa, tuan hanya duduk di ruang berhawa dingin,” luahnya.
Susulan keadaan itu, seorang pekerja lelaki di stesen minyak berkenaan dilihat cuba menenangkan pekerja-pekerja wanita tersebut.
Sebelum pekerja lelaki itu mendekati mereka, Wayan didakwa sempat mengarahkannya supaya menghalau pekerja-pekerja wanita berkenaan.
“Halau pekerja kamu tu,” kata Wayan dalam video tersebut.

Memetik laporan media tempatan, kejadian itu dipercayai berlaku ketika kenderaan beratur panjang untuk mendapatkan bekalan bahan api.
Bagaimanapun, Kerajaan Provinsi Bali dilaporkan masih belum memberikan penjelasan terperinci mengenai kronologi kejadian atau punca pekerja berkenaan meluahkan rasa tidak puas hati kepada Wayan.
Sementara itu, Pengurus Kawasan Komunikasi, Perhubungan dan Tanggungjawab Sosial Korporat PT Pertamina Patra Niaga Wilayah Jatimbalinus, Ahad Rahedi, berkata pihaknya memahami peningkatan beban kerja petugas stesen minyak.
Menurutnya, Pertamina turut berbincang dengan pihak pengurusan stesen minyak bagi memastikan jadual kerja, giliran bertugas dan waktu rehat pekerja dipatuhi.
Ahad turut memaklumkan bahawa Pertamina telah meminta bantuan pihak tentera di bawah Kodam IX/Udayana bagi menambah tenaga kerja di stesen minyak.
Langkah itu bertujuan mengurangkan keletihan petugas, menjaga keselamatan mereka serta memastikan perkhidmatan kepada masyarakat terus berjalan dengan baik.
Ketika ditanya lanjut mengenai kronologi dan punca kejadian melibatkan pekerja berkenaan dengan Koster, Ahad masih belum memberikan penjelasan terperinci.
“Saya masih melakukan tinjauan di lapangan,” katanya.

