Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali bukan sahaja meninggalkan kesan kepada rakyat Malaysia, malah tentunya paling dirasai oleh ahli keluarga yang selama ini berada dekat dengannya.
Cucu Allahyarhamah, Serena Mukhriz, turut berkongsi luahan hati dan beberapa kenangan peribadinya bersama nenek tercinta yang mesra dipanggilnya sebagai ‘Tok’.
Menerusi perkongsian di Instagram, Serena mengakui sukar untuk mencari kata-kata yang mampu menggambarkan kehilangan insan yang begitu dekat di hatinya itu.
“Saya sendiri tak tahu nak mula dari mana. Terlalu banyak perkara yang saya boleh ceritakan tentang Tok, tetapi rasanya apa sahaja yang saya katakan tetap tidak akan cukup,” tulisnya.
Sifat penyayang Tun Siti Hasmah jadi ingatan
Menurut Serena, Allahyarhamah merupakan seorang yang sangat penyayang bukan sahaja terhadap keluarga, malah kepada mereka yang baru dikenalinya.
Katanya, sesiapa yang pernah berpeluang bertemu Allahyarhamah pasti dapat merasakan sifat tersebut kerana beliau mempunyai cara tersendiri membuatkan orang di sekelilingnya berasa disayangi dan dihargai.
Dalam pada itu, Serena turut berkongsi bahawa antara perkara yang mengeratkan hubungan mereka adalah kecintaan terhadap haiwan.
Serena teringat bagaimana satu komen ringkas tentang keinginan melihat dan bermain dengan orang utan yang dikongsikan bersama dengan neneknya rupa-rupanya diambil serius oleh Allahyarhamah.
Tanpa pengetahuannya, Allahyarhamah mendaftarkan Serena untuk menjadi sukarelawan selama seminggu di sebuah yayasan orang utan di Perak.
Sejak itu, banyak kenangan mereka tercipta bersama melibatkan haiwan, termasuk ketika memberi makan itik secara senyap-senyap di Hyde Park.
Kenangan Flash dan Dash
Satu lagi kenangan yang masih dekat di hati Serena berlaku pada 2019 apabila Allahyarhamah membawanya ke Zoo Negara untuk melihat kelahiran dua anak cheetah dan seekor anak harimau.
Mereka kemudian diberi peluang menamakan dua anak cheetah berkenaan dan memilih nama Flash dan Dash.
Bagi Serena, mengetahui kedua-duanya masih berada di Zoo Negara sehingga hari ini sedikit sebanyak memberikan ketenangan kerana kenangan bersama neneknya itu masih ‘hidup’.
Serena turut mengenang satu lagi sisi Allahyarhamah yang mungkin tidak diketahui ramai, iaitu kegemarannya terhadap plushies.
Menurutnya, Allahyarhamah sering mempunyai plushie berdekatan untuk dipeluk, termasuk sebuah plushie istimewa yang boleh memainkan bacaan ayat al-Quran.
Tabiat itu akhirnya turut diikuti Serena yang mengakui kini sukar tidur tanpa plushie berada di sekelilingnya.
“Terima kasih untuk kasih sayang sepanjang hayat ini” - cucu Tun Hasmah
Mengakhiri perkongsian tersebut, Serena menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang wanita luar biasa yang telah melalui perjalanan hidup selama 100 tahun dan banyak memberikan sumbangan kepada orang lain.
Dia turut meluahkan kerinduan untuk memeluk, mendengar suara serta menggenggam tangan neneknya sekali lagi.
“Saya berharap dapat memeluk Tok buat kali terakhir dan mendengar suara Tok sekali lagi. Saya berharap dapat menggenggam tangan Tok sekali lagi.
“Dunia ini masih memerlukan Tok, tetapi Allah telah memanggil Tok kembali kepada-Nya.
“Saya berdoa semoga Allah mengurniakan Tok tempat yang paling tinggi di syurga, melimpahkan rahmat-Nya kepada Tok dan mempertemukan kita kembali suatu hari nanti.
“Terima kasih untuk kasih sayang sepanjang hayat ini, Tok. Saya harap saya dapat membawa sedikit daripada kehangatan Tok bersama saya ke mana sahaja saya pergi,” tulisnya.
Serena menutup perkongsian itu dengan mengingati kata-kata yang sering diucapkan Allahyarhamah kepadanya, “mimpi indah, okay?”
Terdahulu, negara menerima khabar duka apabila Tun Dr Hasmah Mohamad Ali dilapor meninggal dunia pada pagi Isnin.
Jenazah Allahyarhamah dilapor disembahyangkan di Masjid As-Syarif sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya selepas Asar semalam, dalam Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

