Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Segarkan Diri Di Hong Kong: Dari Aksi Cyclothon Ke Pulau-Pulau Ketenangan Tersembunyi

Syamimi

Segarkan Diri Di Hong Kong: Dari Aksi Cyclothon Ke Pulau-Pulau Ketenangan Tersembunyi

Hanya beberapa jam penerbangan dari Kuala Lumpur, Hong Kong kini mendefinisikan semula makna recharge. Musim ini, Hong Kong menggabungkan tenaga urban yang ikonik dengan bayu laut yang menyegarkan, laluan berbasikal yang menawan, serta ruang kesihatan baharu yang mengajak pengunjung untuk bergerak, meneroka dan berehat.

Apabila cuaca mulai sejuk pada bulan November dan Disember, inilah masa terbaik untuk rakyat Malaysia menukar bahang tropika kepada bayu musim luruh yang nyaman sambil menemui semula sisi Hong Kong yang menggerakkan tubuh dan menenangkan minda.

Daripada kembalinya Hong Kong Cyclothon sehinggalah kepada pelancaran tarikan tepi air baharu, berikut ialah cara untuk mencari keseimbangan, tenaga dan sedikit pengembaraan di kota permata Asia ini.

Kayuh Menyusuri Bandar di Hong Kong Cyclothon Carnival

Pada 30 November 2025, Sun Hung Kai Properties Hong Kong Cyclothon akan sekali lagi menjadikan seluruh bandar sebagai pentas epik bagi penunggang basikal dari seluruh dunia. Peserta dari semua peringkat, daripada atlet elit hingga penggemar aktiviti hujung minggu akan mengayuh melalui salah satu latar belakang paling sinematik di dunia, iaitu Victoria Harbour.

Di luar perlumbaan, Cyclothon Carnival di West Kowloon Cultural District menawarkan hujung minggu penuh kesihatan, muzik dan pergerakan untuk semua. Pengunjung boleh menyertai bengkel yang dikendalikan jurulatih profesional, merangkumi senaman klasik hingga sukan baharu. Rasai pengalaman menunggang penny-farthing vintaj, kenali populariti sukan padel yang sedang melanda dunia, atau menggerakkan badan dengan sesi regangan dan Zumba.

Antara aktiviti, berehatlah sambil menikmati persembahan busking secara langsung, atau isi tenaga dengan kopi, gelato dan snek tempatan. Pasar bertema sukan turut mempamerkan pakaian aktif, teknologi dan barangan gaya hidup daripada jenama tempatan dan antarabangsa, pilihan menarik buat peminat kecergasan.

Maklumat program penuh dan sorotan acara boleh didapati di: discoverhongkong.com/eng/what-s-new/events/cyclothon/carnival.html

Terokai Tarikan Sukan dan Rekreasi Tepi Air Terbaharu Hong Kong

Bagi rakyat Malaysia yang ingin menggabungkan rekreasi dan relaksasi, destinasi kesihatan baharu Hong Kong, GO PARK Sai Sha, ialah lokasi wajib dikunjungi. Terletak di antara Wu Kai Sha dan Sai Kung, kawasan tepi air seluas 1.3 juta kaki persegi ini menawarkan kombinasi segar antara sukan, gaya hidup dan alam semula jadi.

Di GO PARK Sports, atlet mahupun pemula boleh menikmati pelbagai kemudahan, daripada trek basikal dan larian bertaraf profesional hinggalah ke satu-satunya gelanggang pickleball luar di Hong Kong. Kompleks ini turut menempatkan padang golf awam dengan teknologi radar Trackman, gelanggang padel, gelanggang tenis, padang bola sepak dan lacrosse, kawasan basikal imbangan, serta gelanggang serbaguna.

Di bahagian tepi air, GO PARK Aqua mengajak pelawat menerokai sisi pesisir pantai Hong Kong yang indah melalui aktiviti seperti kayak, stand-up paddleboarding, wingfoiling dan snorkeling. Pengunjung juga boleh menaiki bot ke Sham Chung, sebuah perkampungan Hakka yang mempesona, dikelilingi kehijauan dan keajaiban geologi. Di sini, pelawat boleh merasai pengalaman memancing tali tangan dan menikmati makan tengah hari makanan laut segar, simbol warisan perikanan Hong Kong.

Perjalanannya juga mudah, kurang daripada sejam dari bandar, dan boleh diakses melalui MTR dan feri. Ia menjadi pilihan ideal untuk rakyat Malaysia yang gemar merancang hujung minggu yang spontan dan lancar.

Nikmati Udara Segar di Tebing Air Hong Kong yang Diubah Suai

East Coast Boardwalk

Bahagian tepi laut Hong Kong yang ikonik kini berubah menjadi ruang terbuka yang lebih mesra pejalan kaki, menggalakkan pengunjung dan penduduk tempatan untuk bergerak sambil menikmati pemandangan laut yang memukau. Sambungan tepi air baharu ini menawarkan antara laluan santai paling fotogenik, sesuai bagi pelancong yang mahu mengimbangi aktiviti santai dengan sedikit senaman ringan.

Di pulau Hong Kong, East Coast Boardwalk di North Point menawarkan pengalaman menyusuri persiaran tepi laut dengan zon permainan bertema ombak, stesen kecergasan luar, platform memancing, dan tempat duduk menghadap matahari terbenam yang sebahagiannya terlindung di bawah lebuh raya.

Kai Tak GreenWay

Di seberang pelabuhan, Kai Tak GreenWay mengikuti laluan bekas landasan Lapangan Terbang Hong Kong yang kini diubah menjadi koridor hijau dengan laluan berkongsi pejalan kaki dan penunggang basikal. Jejak indah ini menghubungkan Kai Tak Promenade dan Shing Fung Road Park, mewujudkan ruang baharu untuk komuniti dan pelawat berkumpul, berehat dan menikmati panorama Victoria Harbour.

Percutian Kesihatan Hanya Beberapa Jam dari Malaysia

Sama ada anda berbasikal di tepi Victoria Harbour, melakukan paddleboarding di Sai Kung, atau menikmati matahari terbenam di tepi air, Hong Kong menawarkan keseimbangan sempurna antara pergerakan dan ketenangan, hanya beberapa jam dari Malaysia.

Dengan cuaca sejuk, tarikan luar yang meriah dan pelbagai cara baharu untuk diterokai, Hong Kong bersedia menyambut rakyat Malaysia yang mencari percutian kesihatan yang menyegarkan dan memulihkan tenaga.