Segitiga Maut: Jangan Sesekali 'Sentuh' Kawasan Ini Pada Wajah
Baru-baru ini, tular insiden menyayat hati apabila seorang wanita di Indonesia yang baharu sahaja kehilangan suami dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @burhansyfq1 di TikTok, perbuatan memicit jerawat pada hidung mengakibatkan suaminya menjalani pembedahan dan akhirnya maut.
Menceritakan kronologi kes, wanita yang sedang hamil ini berkata suaminya mengadu sakit di bahagian hidung akibat jerawat yang tidak surut-surut.
Dia kemudian memicit jerawat yang kelihatan sudah matang dan kemerahan, namun keesokan harinya suaminya mengadu sakit kepala serta demam.
Walaupun telah diberi ubat, keadaannya makin teruk. Malah, bahagian hidung kelihatan bengkak dan merah.
Hasil pemeriksaan makmal mendapati terdapat darah beku di bahagian dalam hidung menyebabkan si suami perlu jalani pembedahan segera selepas dimasukkan ke ICU selama seminggu.
Namun malangnya, dua hari selepas pembedahan, dia disahkan meninggal dunia.
Kenali "segitiga maut" di wajah
Ramai antara kita mungkin menganggap ia hanya jerawat biasa yang boleh ditekan atau dipicit sesuka hati.
Tapi tahukah anda, ada satu kawasan di wajah yang dianggap sangat ‘bahaya’ untuk disentuh, apatah lagi dipicit secara kasar?
Itulah 'peringatan' yang dikongsikan oleh seorang doktor dikenali sebagai Dr. Christabel Akinola.
Menurutnya, ada bahagian pada kawasan wajah yang dikenali sebagai "segitiga maut" atau danger triangle.

Untuk info, segitiga maut merujuk kepada kawasan dari bahagian atas hidung ke sudut mulut (sekitar hidung dan bibir atas).
Kawasan ini sangat sensitif kerana salur darahnya bersambung secara terus dengan otak.
Justeru, doktor tersebut menasihatkan orang ramai untuk menjauhi kawasan ini, sama ada jerawat, bisul atau ingrown hair.
"Ramai orang tidak tahu bahawa sebarang jangkitan di kawasan ini boleh terus sampai ke otak, kerana salur darah di sini bersambung terus.
"Ini boleh menyebabkan jangkitan otak seperti meningitis dan nanah di otak, yang boleh membawa maut.
"Bagi mereka yang gemar bertindik hidung, perkara yang serupa boleh berlaku jika tidak mengambil langkah-langkah kebersihan yang betul," katanya.