Pelakon Singapura, Thomas Ong, 57, akhirnya merealisasikan hasrat untuk berpindah ke sebuah rumah pangsa HDB dua bilik Flexi selepas menunggu selama kira-kira setahun setengah.
Menariknya, kediaman baharu itu hanya berkeluasan 38 meter persegi (409 kaki persegi), hampir separuh daripada saiz tipikal rumah pangsa HDB tiga bilik yang pernah didiaminya sebelum ini.
Bahagia miliki rumah kecil
Menerusi perkongsian di Facebook baru-baru ini, Thomas menyifatkan perpindahan itu sebagai antara perkara “paling menggembirakan” yang berlaku kepadanya tahun ini.
Dia sebelum ini pernah berkongsi pada 2024 mengenai hasratnya untuk memohon rumah pangsa dua bilik Flexi.
Selepas menunggu selama kira-kira setahun setengah dan mencuba sebanyak dua kali, dia akhirnya berjaya mendapatkan sebuah unit melalui skim Sale of Balance Flats (SBF) pada tahun ini.
Menurut Thomas, meskipun kediaman itu merupakan jenis rumah pangsa HDB yang paling kecil, saiz tersebut dirasakan cukup sesuai dengan keperluannya.
Malah, dia secara berseloroh berkata rumah kecil itu lebih sesuai untuk dirinya yang mengakui “terlalu malas untuk mengemas”.
'Interior' gelap dengan sentuhan elegan
Thomas sebelum ini turut berkongsi beberapa gambaran kediaman baharunya di media sosial.
Bilik tidurnya menampilkan panel dinding berwarna hijau gelap, cadar berwarna gelap serta pencahayaan yang memberikan suasana lebih hangat.
Bahagian dapur pula menggunakan kabinet kayu gelap bersama kemasan bercorak marmar pada bahagian backsplash dan kaunter.
Konsep sama turut diteruskan di ruang tamu yang dihiasi perabot kayu gelap, pencahayaan hangat serta kabinet bina dalam, sehingga memberikan suasana seakan-akan sebuah hotel.
Berbanding rumahnya sebelum ini yang lebih banyak menggunakan warna putih dan tona kayu cerah, kediaman baharu Thomas tampil dengan konsep yang lebih gelap, elegan dan minimalis.
Ruang yang terhad juga dimanfaatkan sebaik mungkin, termasuk menyediakan bangku berkusyen berhampiran tingkap sebagai tempat duduk tambahan.
Sebuah televisyen besar dipasang pada dinding berpanel kayu, manakala buku, seramik dan beberapa hiasan kecil digunakan untuk memberikan karakter kepada ruang tersebut.
Hanya beberapa langkah dari bilik ke dapur
Thomas yang menggunakan nama “Lao Wang” di media sosial berkata saiz 38 meter persegi itu sememangnya terasa kecil seperti yang dibayangkan.
“Sejurus masuk melalui pintu, dua langkah sahaja sudah sampai ke bilik tidur. Dua langkah lagi sampai ke dapur dan dua langkah seterusnya sudah tiba di tandas,” katanya.
Menurutnya, ruang untuk bergerak di dalam rumah juga sangat terhad.
Namun, Thomas melihat keadaan itu dari sudut positif kerana kediaman kecil tersebut secara tidak langsung “memaksanya” untuk lebih banyak keluar rumah.
Apabila lapar, dia akan ke pusat beli-belah berhampiran untuk mencari makanan, walaupun sesekali memasak hidangan ringkas di rumah.
Jika mahu bersenam pula, dia akan keluar untuk melakukan senaman atau berjalan kaki.
Baginya, rumah itu kini sekadar menjadi tempat untuk pulang, berehat, bersantai dan menenangkan diri.
Rumah kecil, kerja mengemas pun lebih mudah
Satu lagi kelebihan yang dinikmati Thomas ialah kerja mengemas rumah menjadi jauh lebih mudah.
Menurutnya, kerja menyedut habuk boleh diselesaikan dalam masa singkat, manakala kerja mengemop lantai pula mengambil masa kurang daripada 10 minit.
Dengan sedikit kerja mengelap di beberapa bahagian, dia menganggarkan keseluruhan rumah boleh dikemas dan dibersihkan dalam masa kurang daripada 30 minit.
Thomas turut menyentuh pandangan umum bahawa memiliki rumah yang lebih besar sering dianggap sebagai tanda kejayaan.
Secara berseloroh, dia berkata dirinya sememangnya “malas” dan tidak mempunyai apa yang diperlukan untuk mengejar kediaman yang lebih besar.
Namun begitu, kediaman kecil yang pada awalnya diharapkan dapat menggalakkannya keluar lebih banyak akhirnya memberikan kesan sebaliknya.
Selepas tinggal di situ selama lebih sebulan, Thomas menyedari dia telah mengubah suai rumah tersebut mengikut keselesaan dirinya sehingga terlalu selesa untuk ditinggalkan.
“Selepas lebih sebulan tinggal di sini, rupa-rupanya saya mengubah suai rumah ini terlalu mengikut kesesuaian diri sendiri. Sekarang, setiap kali sampai di rumah, saya pula tidak rasa mahu keluar,” katanya.
Thomas turut memaklumkan bahawa dia sudah merakam video mengenai proses pengubahsuaian kediaman tersebut dan kini sedang dalam proses menyuntingnya.
Jadi, peminat masih perlu menunggu sebelum dapat melihat keseluruhan rumah baharu pelakon itu menerusi lawatan rumah yang bakal dikongsikannya.


