Sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak di Selangor akan ditutup sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, selaras dengan ketetapan pihak berkuasa.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, Jabatan Pendidikan Selangor akan terus memantau bacaan IPU di lokasi sekolah dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan tahap pencemaran serta arahan yang ditetapkan.
“Bagi sektor pendidikan, sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak hendaklah mematuhi ketetapan yang berkuat kuasa berdasarkan bacaan IPU.
“Sekiranya bacaan IPU mencecah melebihi 200, penutupan sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak akan dilaksanakan mengikut ketetapan pihak berkuasa.
“Pihak sekolah juga diminta memastikan keselamatan dan kesihatan murid sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh jerebu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Jamaliah, Selangor turut memperkukuh kesiapsiagaan semua agensi susulan peningkatan semula bacaan IPU di beberapa kawasan negeri itu sejak pagi tadi.
Setakat jam 11 pagi, enam kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu Johan Setia (180), Shah Alam (168), Petaling Jaya (157), Klang (155), Banting (155) dan Kuala Selangor (155).
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa pembakaran terbuka adalah dilarang dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang.
“Orang ramai diminta memainkan peranan dengan segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada Jabatan Alam Sekitar melalui Hotline JAS 1-800-88-2727 atau aplikasi eAduan JAS.
“Bagi kejadian kebakaran yang memerlukan tindakan segera, orang ramai boleh menghubungi 999 atau talian 1-800-88-994 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.
Jamaliah berkata, aspek kesihatan awam kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri ketika bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat.
Jelasnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor bersedia menyerahkan bekalan pelitup muka kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk diedarkan kepada penjawat awam dan orang ramai.
“Pengedaran akan memberi keutamaan kepada kawasan yang merekodkan bacaan IPU tertinggi di Selangor, khususnya kepada golongan memerlukan,” katanya.


