Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gempa Venezuela: Ibu & Bayi 9 Bulan Selamat, Ditarik Keluar Dari Bawah Runtuhan

GEMPA VENEZUELA
gempa-venezuela-ibu-&-bayi-9-bulan-selamat-ditarik-keluar-dari-bawah-runtuhan

Gempa Venezuela: Ibu & Bayi 9 Bulan Selamat, Ditarik Keluar Dari Bawah Runtuhan

Di saat harapan semakin pudar dan masa terus berlalu, sebuah video tular dari Venezuela berjaya menyentuh hati jutaan orang di seluruh dunia.

Rakaman tersebut memaparkan detik apabila seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan berjaya dikeluarkan hidup-hidup dari bawah timbunan runtuhan bangunan selepas gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu.

Lebih 72 jam berlalu, peluang temui mangsa hidup semakin tipis

Gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud yang menggegarkan Venezuela pada Rabu lalu telah mengakibatkan kemusnahan besar, khususnya di kawasan pantai La Guaira, di utara Caracas.

Bencana itu bukan sahaja memusnahkan ribuan bangunan. Malah, turut meragut ribuan nyawa dan menjejaskan kira-kira 6.76 juta penduduk.

Mereka kini memerlukan bantuan kecemasan seperti tempat perlindungan, bekalan makanan, air bersih dan rawatan perubatan.

Kini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki fasa paling mencabar apabila tempoh lebih 72 jam selepas gempa bumi sering dianggap sebagai "golden window" untuk menemukan mangsa yang masih hidup.

Walaupun peluang semakin tipis, pasukan penyelamat dari dalam dan luar negara tetap tidak berputus asa, terus menggali runtuhan demi mencari sebarang tanda kehidupan.

Ibu & bayi 9 bulan bawa sinar harapan

Di sebalik suasana pilu itu, satu berita menggembirakan akhirnya memberikan sinar harapan.

Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan bersama ibunya berjaya ditemukan masih hidup selepas dipercayai terperangkap di bawah timbunan runtuhan bangunan.

Misi menyelamat itu dilaksanakan oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Bandar (Urban Search and Rescue Team)dari Fairfax County, Virginia, Amerika Syarikat dengan kerjasama anggota bomba tempatan.

Menerusi video yang kini tular di media sosial, anggota penyelamat dilihat berhati-hati mengalihkan serpihan konkrit sebelum akhirnya berjaya mengeluarkan bayi tersebut.

Detik itu nyata mengundang sebak apabila bayi berkenaan dilihat masih bernyawa sebelum segera diserahkan kepada petugas perubatan.

Lebih melegakan, bayi dan ibunya dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum dibawa ke lokasi yang lebih selamat untuk menerima rawatan lanjut.

Kejayaan menyelamatkan dua beranak itu bukan sahaja menggembirakan ahli keluarga mereka. Malah, turut meniupkan semula semangat anggota penyelamat yang sudah berhari-hari bertungkus-lumus menggali runtuhan.

Dalam situasi sebegini, setiap mangsa yang berjaya ditemukan hidup membawa harapan baharu bahawa masih ada nyawa yang boleh diselamatkan.