Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Negeri Sembilan akan beroperasi seperti biasa esok, 16 Oktober 2026.
Beroperasi seperti biasa esok
Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini memaklumkan bahawa sebarang keputusan berkaitan penutupan institusi pendidikan akibat jerebu adalah tertakluk kepada ketetapan, kriteria dan garis panduan KPM berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta perkembangan semasa.
Menurut JPNS, berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019, semua aktiviti di luar bilik darjah hendaklah dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
Aktiviti berkenaan termasuk Pendidikan Jasmani, kokurikulum, sukan, perkhemahan, keraian, perhimpunan serta aktiviti di dewan terbuka.
JPNS turut menyarankan murid memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi mereka yang mengalami gejala pernafasan atau tergolong dalam kumpulan berisiko.
Ibu bapa dan penjaga yang bimbang akan kesan jerebu terhadap kesihatan anak-anak juga boleh memilih untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan ketidakhadiran kepada pihak sekolah.
JPNS memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan menyalurkan maklumat rasmi sekiranya terdapat sebarang perubahan berkaitan pengoperasian institusi pendidikan.
Sehubungan itu, ibu bapa, penjaga dan seluruh warga pendidikan disaran mengikuti saluran rasmi JPNS bagi mendapatkan maklumat terkini.


