Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dua sekolah berasrama penuh (SBP) negara terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila berjaya meraih pengiktirafan tertinggi pada World Music Contest (WMC) Kerkrade 2026 yang berlangsung di Belanda.
Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) menerusi satu hantaran di Facebook merakamkan ucapan tahniah kepada Seri Puteri Symphonic Winds dari Sekolah Seri Puteri dan Alam Shah Wind Orchestra dari Sekolah Sultan Alam Shah atas kejayaan membanggakan itu.
Menurut BPSBP, Seri Puteri Symphonic Winds berjaya meraih Gold with Distinction, manakala Alam Shah Wind Orchestra pula membawa pulang Gold Award, sekali gus membuktikan keupayaan warga SBP bersaing di pentas muzik bertaraf dunia.
“Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Puteri Symphonic Winds (Sekolah Seri Puteri) dan Alam Shah Wind Orchestra (Sekolah Sultan Alam Shah) atas kejayaan cemerlang di World Music Contest (WMC) Kerkrade 2026, Belanda,” katanya.
BPSBP berkata, pencapaian itu mencerminkan bakat, disiplin dan komitmen tinggi yang dimiliki oleh warga SBP sehingga mampu berdiri sebaris dengan kumpulan muzik terbaik dari seluruh dunia.
Menurutnya, kejayaan tersebut bukan sekadar kemenangan buat dua buah sekolah berkenaan, malah menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia apabila Jalur Gemilang berkibar megah di pentas antarabangsa.
“Seri Puteri Symphonic Winds telah meraih Gold with Distinction, manakala Alam Shah Wind Orchestra berjaya memperoleh Gold Award, sekali gus membuktikan bahawa bakat, disiplin dan komitmen warga SBP mampu bersaing dengan cemerlang di pentas muzik bertaraf dunia.
“Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan dua buah sekolah, tetapi merupakan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikan Jalur Gemilang berkibar megah di pentas antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, BPSBP berkata pihaknya berharap kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah di Malaysia untuk terus mengejar kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
“Syabas dan tahniah! SBP teruskan mengharumkan nama negara serta menginspirasikan seluruh murid di Malaysia,” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan