Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain. Sebagai umat Islam, kita juga dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk termasuk haiwan.
Pun begitu, tidak dinafikan bahawa ada sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab dan membiarkan haiwan seperti anjing dan kucing hidup melarat di jalanan.
Walaupun pada awalnya ditatang bagai minyak yang penuh, ada yang tidak berhati perut membuang haiwan tersebut apabila ia mula sakit.
Keadaan ini yang membuatkan Mohd Hashim atau lebih dikenali sebagai Hashman bertekad menyelamatkan kucing-kucing yang dibuang di jalanan.
Warga emas berusia 66 tahun itu membuka tempat perlindungan haiwan terbiar yang dikenali sebagai Rumah Amanah bersama rakan kongsinya, Ayu, sejak lebih enam tahun lalu.
Menempatkan lebih 400 ekor kucing, Hashim yang kini menetap di Hulu Langat, Selangor, berkata pembuangan kucing sakit dan bunting menjadi faktor utama yang mendorongnya membuka rumah perlindungan haiwan itu.
Menurutnya, masih ramai yang tidak mempunyai kesedaran mengenai pemandulan haiwan comel itu walaupun ia merupakan salah satu cara untuk melindungi mereka.
“Rumah Amanah beroperasi pada Januari 2020 hingga Disember 2021 di Dengkil dan Januari 2022 hingga sekarang di Hulu Langat.
“Hanya kami berdua sahaja pengasasnya, kami bukan NGO,” kata Hashim ketika ditemu bual SK.

Meskipun perlu berkorban dari segi masa, tenaga dan kos, perjuangan Hashim demi memberikan yang terbaik untuk kesemua haiwan itu tidak pernah pudar.
“Saya perlu berkorban dari segi masa dan tenaga, untuk pastikan makanan sentiasa cukup. Gembira bila nampak kucing-kucing semua sihat.
“Sudah enam tahun lebih Rumah Amanah beroperasi, Alhamdulillah rezeki tetap ada walaupun kami tidak meminta sumbangan secara umum di halaman media sosial kami.
“Hingga kini kami masih guna dana kami sendiri, selain ada syarikat makanan dan pengikut-pengikut di media sosial yang memberi sumbangan,” katanya kepada SK.

Bagi menguruskan kesemua kucing itu, Hashim juga turut menggaji pembantu setiap bulan dan mempunyai jadual harian bagi kerja-kerja membersih.
Usahanya itu turut mendapat sokongan daripada ahli keluarganya kerana mereka juga merupakan pencinta haiwan.
Ditanya jika pernah rasa berputus asa, Hashim tidak menafikannya kerana ada kucing yang tidak dapat diselamatkan.
“Rasa putus asa ada, bila kami merawat kucing-kucing sakit tapi tidak dapat diselamatkan dan mati. Kami reda sebab itulah takdir mereka dan banyak lagi kucing-kucing di jalanan perlu diselamatkan,” katanya.
Hashim juga berkongsi detik-detik pilu ketika dia sedar bahawa si bulus tidak akan bertahan lama di dunia ini.

“Ada beberapa ekor kucing yang akan cium tangan saya, esoknya mati. Baru saya tahu rupanya itu petanda mereka akan pergi jumpa pencipta,” katanya lagi.
Namun, detik paling bermakna yang dirasainya selama menguruskan haiwan terbiar ini adalah apabila semua kucing sihat dan gembira.
Hashim berkata masyarakat kini lebih prihatin terhadap haiwan-haiwan jalanan kerana adanya media sosial. Dia berharap agar orang ramai dapat menghulurkan bantuan kepada tempat-tempat perlindungan yang berdekatan.

“Bukan sahaja dari segi kos, mereka juga boleh bantu dari segi masa, tenaga dan bermacam lagi,” ujar Hashim.
Dalam pada itu, Hashim juga menyeru pihak berkuasa atau yang berkaitan untuk membantu memandulkan kucing atau anjing agar dapat mengawal pembiakan.
Bukan Sekadar Cari Untung, 37 Tahun Ayam Bismi Kekal Pegang Prinsip Halalan Toyyiban
Pesan Arwah Ibu Jadi Azimat, Mak Jah Tetap Jual Nasi Murah Demi Orang Susah
Minat Dipupuk Sejak Kecil Bawa Shahrul Selami Sejarah Kartografi Lama“Kepada jabatan-jabatan yang berkaitan, yang kaya atau yang berkemampuan, bantulah tempat-tempat perlindungan yang bergerak secara solo.
“Bantu mereka memandulkan kucing atau anjing agar dapat mengawal pembiakan, itulah sebenarnya punca pembuangan haiwan tersebut,” jelasnya.
Semoga segala amal kebaikan yang dilakukan oleh Hashim dan petugas Rumah Amanah mendapat ganjaran yang terbaik di syurga nanti. Diharapkan usaha Hashim ini membuka mata masyarakat untuk lebih cakna mengenai haiwan-haiwan terbiar.