Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Siakap Keli, Wiser Perkasa Newsroom Digital Melalui Latihan AI Bersama MPI

MPI
Warga kerja Siakap Keli dan Wiser.my bergambar bersama Pengarah dan Pengurus Besar Siakap Keli Sdn. Bhd., Mohd Firdaus Ishak (kiri, berbaju korporat Siakap Keli) serta Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Ainol Amriz Ismail (empat dari kiri), selepas Kursus Pemantapan Kompetensi Newsroom Digital & Penghasilan Kandungan Multi-Platform. Kredit foto: MPI

Siakap Keli, Wiser Perkasa Newsroom Digital Melalui Latihan AI Bersama MPI

Dalam usaha memperkukuh keupayaan organisasi menghadapi transformasi industri media digital, Siakap Keli dan Wiser menjalin kerjasama strategik bersama Malaysian Press Institute (MPI) menerusi penganjuran Kursus Pemantapan Kompetensi Newsroom Digital & Penghasilan Kandungan Multi-Platform yang berlangsung selama empat hari di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya.

Program yang berlangsung dari 20 hingga 23 Julai itu menghimpunkan 10 warga editorial Siakap Keli dan Wiser bagi mempertingkatkan kompetensi dalam penulisan editorial, kewartawanan digital, penghasilan kandungan video, penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta strategi penerbitan kandungan merentas pelbagai platform.

Latihan berkenaan turut mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi media itu dalam melahirkan wartawan digital yang lebih kompeten, beretika dan bersedia mendepani landskap media yang semakin dipacu teknologi.

Ketua Editor Berita (Digital) Buletin TV3, Azwaliza Azman ketika menyampaikan modul Editorial Penulisan Berita dalam Kursus Pemantapan Kompetensi Newsroom Digital & Penghasilan Kandungan Multi-Platform. Kredit foto: Haziq Hakimi / Siakap Keli.

Pada hari pertama, kursus dikendalikan oleh Ketua Editor Berita (Digital) Buletin TV3 dan Penerbit Eksekutif Podcast Utama Buletin TV3, Azwaliza Azman, yang berkongsi pengalaman mengenai operasi newsroom digital, pengurusan aliran kerja editorial, pengendalian berita tergempar (breaking news) serta kaedah pengesahan maklumat sebelum diterbitkan kepada umum.

Peserta turut didedahkan kepada strategi menghasilkan kandungan yang sesuai untuk pelbagai platform digital mengikut kehendak khalayak masa kini.

Hari kedua pula memberi tumpuan kepada Editorial Writing Masterclass, Narrative Storytelling dan penggunaan AI dalam operasi editorial.

Sepanjang sesi itu, peserta mempelajari teknik penulisan berita yang lebih berimpak, pembinaan naratif digital, penyuntingan berita, penggunaan AI secara beretika serta kepentingan semakan fakta sebagai asas kepada kewartawanan yang dipercayai.

Menurut Azwaliza, penguasaan kemahiran penulisan dan penceritaan digital perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi supaya kandungan yang diterbitkan kekal tepat, relevan serta diyakini masyarakat.

AI sesuai untuk kandungan ringan, bukan berita serius

Sementara itu, hari ketiga diteruskan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Ainol Amriz Ismail, yang memberi fokus kepada strategi menghasilkan kandungan kreatif menggunakan AI tanpa mengabaikan sentuhan manusia sebagai tunjang kewartawanan.

Ketika ditemu bual Siakap Keli, Dr. Ainol berkata penggunaan AI perlu bermula dengan kandungan asli yang dihasilkan sendiri oleh organisasi media dan bukannya mengambil kandungan pihak lain sebelum diproses menggunakan AI.

Menurut beliau, kepercayaan khalayak terhadap sesuatu kandungan bergantung kepada tahap ketulenan maklumat yang disampaikan.

"Kandungan yang hendak dijana menggunakan AI mestilah datang daripada hasil kerja sendiri, bukannya mengambil kandungan orang lain. Apabila kandungan itu asli, kepercayaan khalayak juga akan lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata AI lebih sesuai digunakan bagi menghasilkan kandungan berbentuk human interest, pendidikan, gaya hidup, resipi, permainan tradisional atau kandungan santai yang dekat dengan masyarakat.

Menurutnya, kandungan seperti itu boleh dipersembahkan secara kreatif menggunakan avatar atau visual AI tanpa menjejaskan kepercayaan pembaca.

Sebaliknya, beliau menegaskan berita berkaitan dasar kerajaan, isu semasa, sejarah, ekonomi dan kandungan yang mempunyai implikasi besar kepada masyarakat tidak wajar dipersembahkan sepenuhnya menggunakan AI.

"Untuk kandungan yang serius, orang masih mahu melihat manusia sebenar. Sebab itu pembaca lebih percaya kepada wartawan dan penyampai berita sebenar berbanding avatar.

"Apabila menggunakan AI, kita perlu melihat kepada segmen kandungan. AI sesuai untuk kandungan ringan, tetapi bagi kandungan yang melibatkan kredibiliti tinggi, kajian manusia dan proses editorial tetap menjadi keutamaan," katanya.

Beliau turut mencadangkan organisasi media membangunkan identiti atau ikon digital tersendiri bagi menghasilkan kandungan AI yang lebih dekat dengan khalayak tanpa menjejaskan kredibiliti jenama media.

Bangunkan projek AI Digital Storytelling

Kemuncak latihan pada hari terakhir menyaksikan kesemua peserta menghasilkan projek AI Digital Storytelling menggunakan pendekatan solo journalism dan mobile journalism (MoJo).

Setiap kumpulan membangunkan projek digital lengkap merangkumi penulisan skrip, visual, audio, elemen multimedia serta pembentangan akhir sebelum sesi penyampaian sijil.

Turut hadir menyaksikan perjalanan kursus ialah Pengarah dan Pengurus Besar Siakap Keli Sdn. Bhd., Mohd Firdaus Ishak.

Latihan beri impak besar kepada newsroom Siakap Keli

Ketua Editor Editorial Siakap Keli, Mohammad Fazidi menerima sijil Kursus Pemantapan Kompetensi Newsroom Digital & Penghasilan Kandungan Multi-Platform yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Ainol Amriz Ismail. Kredit foto: Haziq Hakimi/ Siakap Keli.

Sementara itu, Chief Editor Editorial Siakap Keli, Mohammad Fazidi berkata latihan yang dianjurkan MPI memberi manfaat besar kerana dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman daripada industri media.

Menurut beliau, kandungan yang dibawakan sepanjang empat hari latihan benar-benar mencerminkan situasi sebenar yang sedang berlaku dalam dunia kewartawanan digital.

"Saya sangat berpuas hati dengan latihan yang disediakan oleh MPI kerana mereka membawa tenaga pengajar yang sangat berpengalaman daripada industri.

"Topik yang diajar benar-benar mencerminkan dunia sebenar media hari ini dan memberikan manfaat yang sangat besar kepada kami. Insya-Allah ilmu yang diperoleh akan membantu Siakap Keli menjadi sebuah platform media yang lebih baik dan lebih dipercayai," katanya.

AI bakal dimanfaatkan dengan lebih meluas

Dalam pada itu, Senior Editor Editorial Siakap Keli, Sofea Shahira berkata latihan berkenaan membuka perspektif baharu terhadap penggunaan AI dalam operasi editorial.

Menurut beliau, walaupun AI telah digunakan di Siakap Keli sebelum ini, pendedahan yang diterima sepanjang kursus membolehkan teknologi itu dimanfaatkan dengan lebih meluas, khususnya dalam penghasilan video dan kandungan berita.

"Sepanjang empat hari berada di sini, saya memperoleh banyak ilmu baharu yang boleh diaplikasikan dalam tugasan harian.

"Sebelum ini kami memang menggunakan AI, tetapi tidak secara menyeluruh seperti yang dipelajari dalam latihan ini. Selepas ini saya yakin AI akan dimanfaatkan dengan lebih meluas terutama dalam penghasilan video dan berita.

"Ini merupakan antara latihan terbaik yang pernah saya sertai kerana setiap sesi memberi input yang benar-benar boleh digunakan dalam operasi editorial," katanya.

Kerjasama strategik antara Siakap Keli, Wiser dan MPI ini membuktikan komitmen bersama dalam memperkasakan newsroom digital tempatan menerusi pemantapan kompetensi editorial, penggunaan AI secara beretika serta penghasilan kandungan multi-platform yang berkualiti, sekali gus memastikan media tempatan terus relevan dan diyakini dalam era transformasi digital.

Intipati
  • Latihan empat hari itu disertai 10 warga editorial Siakap Keli dan Wiser.
  • Peserta didedahkan kepada penulisan berita, penceritaan digital, penghasilan video dan penggunaan AI beretika.
  • MPI menekankan AI sesuai untuk kandungan ringan, manakala berita serius memerlukan sentuhan editorial manusia.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan