Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Siapa John Ternus, CEO Apple Yang Baharu?

Siapa John Ternus
Kredit: AFP

Apple merupakan antara syarikat teknologi gergasi yang mendapat kepercayaan ramai sejak ditubuhkan oleh Steve Jobs, Steve Wozniak dan Ronald Wayne pada 1976.

Siapa yang boleh melupakan pembentangan ikonik Steve Jobs ketika memperkenalkan iPhone pertama pada 2007, sebuah peranti yang kemudiannya membawa perubahan besar kepada industri telefon pintar.

Sejak itu, Jobs menjadi antara individu paling berpengaruh dalam dunia teknologi dan menjadi inspirasi kepada ramai pembangun serta usahawan dalam industri berkenaan.

Pemergiannya pada 2011 bagaimanapun tidak memudarkan semangat Apple untuk terus menghasilkan inovasi dan kekal sebagai antara peneraju industri teknologi sehingga ke hari ini.

Selepas pemergian Steve Jobs pada 2011, kepimpinan Apple diteruskan oleh Tim Cook yang mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Sepanjang 15 tahun menerajui syarikat itu, Cook membawa Apple melalui pelbagai fasa perkembangan sebelum berundur sebagai CEO pada 1 September dan mengambil alih peranan sebagai Pengerusi Eksekutif.

Kredit: AFP

Kini, satu lagi era baharu bermula apabila tampuk kepimpinan Apple diserahkan kepada John Ternus.

Namanya mungkin belum begitu dikenali orang ramai, namun John bukanlah individu baharu dalam Apple.

Malah, beliau telah bersama syarikat itu selama lebih dua dekad.

Kenali siapa John Ternus

Sebelum menyertai Apple, John bekerja sebagai jurutera mekanikal di Virtual Research Systems.

Perjalanannya bersama Apple bermula pada 2001 ketika menyertai pasukan reka bentuk produk syarikat itu.

Tahun berganti tahun, beliau dilantik pula sebagai Naib Presiden Kejuruteraan Perkakasan pada 2013.

Beliau kemudian menyertai barisan kepimpinan tertinggi Apple pada 2021 sebagai Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perkakasan.

Graduan Kejuruteraan Mekanikal dari University of Pennsylvania itu telah mengetuai kerja-kerja kejuruteraan perkakasan bagi pelbagai produk penting syarikat berkenaan.

Malah, beliau memainkan peranan utama dalam pengenalan beberapa barisan produk baharu termasuk iPad dan AirPods.

John turut terlibat dalam pembangunan pelbagai generasi iPhone, Mac dan Apple Watch.

Kredit: AFP

CEO berusia 51 tahun itu turut mengetuai banyak usaha syarikat dalam meningkatkan aspek kebolehpercayaan dan ketahanan produk dengan memperkenalkan teknik baharu yang menjadikan produk Apple lebih tahan lasak.

Selain itu, beliau memainkan peranan penting dalam inovasi bahan dan reka bentuk perkakasan yang membantu mengurangkan jejak karbon produk Apple.

Ia termasuk pembangunan campuran aluminium kitar semula baharu yang digunakan pada beberapa barisan produk, penggunaan titanium cetakan 3D pada Apple Watch Ultra serta penambahbaikan dari segi kebolehbaikan yang membantu memanjangkan jangka hayat beberapa produk Apple.

Cabaran untuk John

Jawatan yang besar datang dengan tanggungjawab yang besar. John kini berdepan pelbagai cabaran dalam menerajui Apple.

Antaranya ialah mengimbangi kebergantungan syarikat terhadap China, selain berdepan tekanan politik yang semakin meningkat dari Rumah Putih.

Disebabkan dua CEO sebelum ini cukup dikenali dengan gaya kepimpinan masing-masing, ramai kini menantikan bagaimana John akan mencorakkan era baharunya sendiri di Apple.

Intipati
  • Tim Cook berundur sebagai CEO Apple pada 1 September, menjadi Pengerusi Eksekutif.
  • John Ternus menyertai Apple pada 2001 dan memimpin kejuruteraan perkakasan sejak 2021.
  • Beliau terlibat dalam pembangunan iPad, AirPods, iPhone, Mac, Apple Watch dan inovasi bahan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan