Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Singapura Dilanda Jerebu, Kes Masalah Pernafasan Meningkat
Singapura melaporkan peningkatan bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan akibat masalah pernafasan susulan jerebu yang melanda negara itu, lapor Channel News Asia (CNA).
Klinik di kawasan tengah, utara dan timur Singapura mencatat peningkatan ketara bilangan pesakit yang hadir tanpa temujanji dalam beberapa hari terakhir.
Selain itu, pesakit juga melaporkan mengalami batuk berpanjangan, kesukaran bernafas dan sakit tekak.
Dr. Joel Lim dari Kingsway Medical Clinic berkata bilangan pesakit meningkat antara 10 hingga 20 peratus sejak beberapa hari lalu, selari dengan kenaikan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI).
“Peningkatan ini biasanya berlaku dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas kualiti udara yang lebih buruk berterusan,” kata Lim.
Beliau turut menambah bahawa musim jerebu sering mencetuskan lebih banyak lawatan ke klinik atau hospital akibat kerengsaan tekak, batuk, dan serangan asma.
Seorang pegawai perubatan di Livewell Medical Family Clinic, Dr. Chong Soon Thye menganggarkan peningkatan antara 15 hingga 25 peratus dalam kes masalah pernafasan.
Dr. Ronald Xu dari Procare GP Clinic dan Dr. Chan, yang mengendalikan klinik di timur Singapura, turut melaporkan trend yang sama.
Peningkatan ini berlaku di tengah-tengah cuaca kering berpanjangan, dengan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) menyatakan bahawa asap daripada satu titik panas di negara jiran bergerak ke arah Singapura.
Setakat pukul 6 petang semalam, indeks kualiti udara 24 jam mencatat bacaan antara 50 hingga 62, iaitu dalam julat baik hingga sederhana.
Namun begitu, menjelang kira-kira 7 malam, bacaan menurun sedikit kepada antara 49 hingga 61, dengan kawasan tengah paling terjejas, diikuti oleh utara dan timur Singapura.
“Keadaan kering ini dijangka berterusan hari ini,” menurut kenyataan NEA.
Penduduk di seluruh Singapura turut melaporkan bau hangit sejak akhir Januari.
NEA sebelum ini mengaitkan peningkatan paras PM2.5 di kawasan timur dengan titik panas dan kepulan asap dari negeri jiran, sambil menambah bahawa kebakaran tumbuh-tumbuhan telah menyebabkan asap daripada titik panas tersebut bergerak ke utara Singapura.