Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Spider-Man: Brand New Day Gegar Box Office, Kutipan Cecah AS$932 Juta Seluruh Dunia

SPIDER
Kredit: Sony Pictures

Spider-Man: Brand New Day Gegar Box Office, Kutipan Cecah AS$932 Juta Seluruh Dunia

Filem adiwira terbaharu, Spider-Man: Brand New Day mencipta sejarah apabila mencatat kutipan pembukaan terbesar dalam sejarah pawagam Amerika Utara, sekali gus memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh Avengers: Endgame.

Menurut laporan Variety, filem terbitan Sony Pictures dan Marvel Studios itu meraih kutipan sebanyak AS$360 juta (kira-kira RM1.53 bilion) pada hujung minggu pertama tayangannya di Amerika Utara, mengatasi rekod Avengers: Endgame yang mengutip AS$357 juta pada 2019.

Malah, Spider-Man: Brand New Day dan Avengers: Endgame kini menjadi dua filem pertama dalam sejarah yang berjaya melepasi kutipan AS$300 juta dalam tempoh satu hujung minggu.

Di peringkat global, filem keempat lakonan Tom Holland sebagai Peter Parker itu turut mencatat kutipan luar biasa sebanyak AS$932 juta (kira-kira RM3.97 bilion) hanya dalam tempoh tiga hari tayangan.

Pencapaian itu menjadikan Spider-Man: Brand New Day sebagai filem dengan kutipan pembukaan global kedua terbesar sepanjang zaman, di belakang Avengers: Endgame yang mencatat AS$1.2 bilion.

Pengerusi Sony Pictures, Tom Rothman, berkata kejayaan tersebut merupakan hasil usaha seluruh tenaga produksi dan pasukan pemasaran yang bertungkus-lumus menjayakan filem berkenaan.

“360 juta ucapan terima kasih kepada semua pengarah, pelakon, penerbit dan rakan-rakan saya di Sony yang menghasilkan sebuah filem hebat serta kempen pemasaran dan pengedaran yang luar biasa.

“Rekod memang dicipta untuk dipecahkan, namun kami amat berbangga dengan pencapaian ini selagi ia kekal menjadi milik kami,” katanya.

Selain memecahkan rekod kutipan hujung minggu, filem arahan Destin Daniel Cretton itu turut mencatat kutipan pratonton terbesar sebanyak AS$72 juta, selain meraih kutipan hari pertama tertinggi dengan AS$169.8 juta.

Mengambil kesinambungan daripada Spider-Man: No Way Home, filem itu mengisahkan Peter Parker yang meneruskan perjuangannya sebagai Spider-Man selepas identitinya dilupakan seluruh dunia, sambil berdepan ancaman baharu yang menggugat New York City.

Tom Holland sebelum ini membintangi tiga filem solo Spider-Man yang masing-masing mencatat kejayaan besar di pawagam, iaitu Spider-Man: Homecoming (2017), Spider-Man: Far From Home (2019) dan Spider-Man: No Way Home (2021).

Berdasarkan momentum semasa dan sambutan penonton yang amat memberangsangkan, Spider-Man: Brand New Day dijangka melepasi kutipan AS$2 bilion di seluruh dunia, sekali gus menyertai kelompok elit filem dengan kutipan tertinggi dalam sejarah.

Sumber:Variety
Intipati
  • Spider-Man: Brand New Day meraih AS$360 juta pada hujung minggu pembukaan Amerika Utara.
  • Kutipan global filem itu mencecah AS$932 juta dalam tempoh tiga hari tayangan.
  • Filem tersebut dijangka melepasi AS$2 bilion berdasarkan momentum semasa dan sambutan penonton.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan