Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Spider-Man: Brand New Day Pecah Rekod, Kutipan Global Cecah AS$2 Bilion

Kutipan global cecah AS$2 Bilion
Kredit: Sony Pictures

Filem adiwira terbaharu, Spider-Man: Brand New Day, terus mencipta kejayaan apabila kutipan tiket globalnya melepasi AS$2 bilion selepas hanya tiga minggu ditayangkan di pawagam.

Filem adiwira yang menampilkan Tom Holland sebagai watak Spider-Man itu mencatat kutipan AS$785 juta di Amerika Utara dan AS$1.23 bilion di pasaran antarabangsa, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak AS$2.022 bilion, lapor Variety.

Kutipan global cecah AS$2 Bilion

Pencapaian itu sekali gus menjadikan Spider-Man: Brand New Day antara hanya lapan filem dalam sejarah yang berjaya melepasi kutipan AS$2 bilion di seluruh dunia.

Filem berkenaan menyertai kelompok filem berprestasi tinggi seperti Avatar (AS$2.9 bilion), Avengers: Endgame (AS$2.7 bilion), Avatar: The Way of Water (AS$2.3 bilion), Titanic (AS$2.2 bilion), Star Wars: The Force Awakens (AS$2.07 bilion) dan Avengers: Infinity War (AS$2.03 bilion).

Filem terdahulu dalam francais berkenaan, Spider-Man: No Way Home yang ditayangkan pada 2021, hampir mencapai angka itu dengan kutipan AS$1.9 bilion, namun gagal melepasi paras AS$2 bilion antara lain kerana tidak ditayangkan di China.

Menariknya, Brand New Day menjadi filem kedua terpantas dalam sejarah untuk mencapai kutipan AS$2 bilion, selepas Avengers: Endgame yang mencapai angka berkenaan hanya dalam tempoh 11 hari.

Filem keempat Holland sebagai Peter Parker itu sememangnya mencatat prestasi luar biasa sejak mula ditayangkan pada penghujung Julai.

Pada minggu pertama tayangan, Brand New Day merekodkan kutipan pembukaan sebanyak AS$355 juta di Amerika Utara dan AS$932 juta di seluruh dunia.

Filem itu kemudiannya melepasi kutipan AS$1 bilion hanya enam hari selepas ditayangkan.

Dengan sambutan luar biasa dan prestasi kutipan yang terus kukuh, Brand New Day dijangka menamatkan tayangannya sebagai antara filem dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.

Malah, filem berkenaan kini sudah berada di tangga kelapan dalam senarai filem dengan kutipan global tertinggi sepanjang zaman.

Pemerhati industri kini mula mempersoalkan sejauh mana kutipan Brand New Day mampu pergi, termasuk kemungkinan filem itu menjadi filem pertama dalam sejarah yang mencatat kutipan AS$1 bilion di Amerika Utara.

Rekod kutipan domestik tertinggi ketika ini masih dipegang Star Wars: The Force Awakens dengan AS$936 juta.

Tidak kurang menarik, kejayaan luar biasa Brand New Day turut membuka kemungkinan filem berkenaan menjadi filem pertama dalam sejarah yang berjaya mencatat kutipan global mencecah AS$3 bilion.

Sumber:Variety
Intipati
  • Spider-Man: Brand New Day mencatat kutipan global AS$2.022 bilion selepas tiga minggu tayangan.
  • Filem itu meraih AS$785 juta di Amerika Utara dan AS$1.23 bilion antarabangsa.
  • Brand New Day kini berada di tangga kelapan kutipan global tertinggi sepanjang zaman.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan