Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penempatan haram di Kampung Sungai Makau, Hulu Langat mula dirobohkan pada hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz memaklumkan mengenai perkembangan itu menerusi laman Facebook miliknya.
"Kerja-kerja perobohan struktur di kawasan tersebut sedang dilaksanakan oleh pemilik tanah sendiri dan kini berada dalam proses pelaksanaan," katanya.
Menerusi video yang dikongsi oleh beliau, dapat dilihat keadaan struktur bangunan yang telah dirobohkan.
Selasa lalu, beliau memaklumkan bahawa isu penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan di kawasan itu berpunca daripada tindakan pihak pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan tersebut.
Johan menjelaskan bahawa isu itu bukan perkara baharu dan telah dibangkitkan olehnya dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu untuk perhatian serta tindakan agensi-agensi berkaitan.

"Untuk makluman, pelbagai tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan operasi telah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan.
"Namun, punca utama ialah tindakan pihak pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan, termasuk menyediakan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik," ujarnya.